KUALA LUMPUR - Pemberian bantuan subsidi tiket penerbangan laluan domestik kepada penuntut Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) FLYsiswa antara lain bertujuan membantu golongan mahasiswa lebih fokus dalam pengajian, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Menyifatkan FLYsiswa sebagai satu manifestasi Kerajaan Perpaduan dalam memenuhi nilai-nilai Malaysia Madani, beliau berkata, inisiatif itu diharap dapat memberi ketenangan minda kepada mahasiswa untuk fokus menimba ilmu dan tidak memikirkan hal-hal lain.
Beliau berkata, inisiatif yang membabitkan pemberian baucar digital bernilai RM300 kepada penuntut IPTA di Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan serta pelajar di Politeknik, Institut Pendidikan Guru dan Matrikulasi yang layak berkait rapat dengan nilai ‘Ihsan’ dalam meringankan beban golongan mahasiswa untuk pulang ke kampung halaman.
"Inilah Ihsan daripada Kerajaan Perpaduan untuk membantu para pelajar pulang ke kampung. Dengan adanya program ini, diharapkan ia dapat meringankan sedikit beban saudara-saudari sekalian,” katanya semasa berucap melancarkan FLYsiswa di Auditorium HEP, Universiti Malaya pada Jumaat.
"Jadi kita tak mahu keadaan sebegitu dilalui oleh anak-anak, pelajar pada masa ini," kata beliau ketika berkongsi pengalamannya sebagai alumni Universiti Malaya.
Fadillah berharap dengan kemudahan yang disediakan, golongan pelajar mempunyai daya tahan yang tinggi kerana negara memerlukan sumber tenaga kerja berkemahiran tinggi dan mampu bersaing dengan negara lain.
"Kita kena pastikan sumber manusia kita ini mereka yang berintegriti, berilmu dan berkemahiran... kalau tidak, hasrat kita untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang makmur dan sejahtera tidak akan tercapai.
"... apatah lagi dalam keadaan negara yang sedang memulihkan ekonomi dengan menyertai bidang baharu seperti ekonomi digital, grid energy dan ini memerlukan kepakaran serta ilmuwan yang baharu, dan harapan kita daripada generasi muda ini adalah untuk mereka menimba ilmu secukupnya supaya kita dapat mengisi ruang untuk kita mengembangkan ekonomi dalam bidang-bidang baharu," katanya. - Bernama