Young Tigers gagal sambar tiket suku akhir

Iklan
Pemain Malaysia, Jeffrynus Andywalfian (kiri) ketika bersaing dengan pemain Australia dalam aksi terakhir Kumpulan A Piala Dunia Hoki Remaja Lelaki 2023 di Stadium Hoki Nasional sebentar tadi. - Foto Bernama.

MALAYSIA terpaksa menelan hakikat tiket suku akhir Piala Dunia Hoki Remaja Lelaki 2023 bukan milik mereka selepas mengalami kekalahan 2-5 kepada Australia dalam aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.

Kekalahan itu menyaksikan skuad The Young Tigers kekal menghuni tangga ketiga Kumpulan A dengan mengutip tiga mata, sekali gus gagal melayakkan diri ke peringkat suku akhir.

Iklan
Iklan

Sebaliknya, Australia yang juga juara edisi 1997 mengiringi juara Kumpulan A, Argentina untuk lolos ke kelompok lapan terbaik apabila berada di tangga kedua dengan merekodkan enam mata.

Turun dengan misi 'hidup mati' berdepan Australia bagi memburu tiket suku akhir, Malaysia ternyata gagal menyaingi corak permainan pantas lawan mereka itu sepanjang 60 minit perlawanan berlangsung.

Iklan

Dalam aksi suku pertama, gawang Young Tigers dibolosi tiga kali apabila Australia memperoleh gol menerusi Cooper Burns seawal minit kedua, Jake Lambeth (6) dan Cambell Geddes (15).

Tersentak dengan tiga gol Australia, Malaysia bangkit dalam aksi suku kedua sebelum memperoleh jaringan sulung menerusi gol padang Harris Osman pada minit ke-21.

Iklan

Begitupun, Australia kembali menekan anak-anak buah Muhammad Amin Rahim apabila menambah gol keempat hasil jaringan Lambeth pada minit ke-27.

Shafiq Ikhmal Daniel kembali menceriakan penyokong Malaysia apabila menyumbat gol kedua Young Tigers pada minit ke-44, namun Australia memperoleh gol kelima menerusi jaringan Geddes seminit kemudian.

Dalam aksi suku keempat, kedua-dua pasukan buntu menambah jaringan sehingga wisel penamat dibunyikan bagi menoktahkan kemenangan mutlak Australia.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia akan beraksi dalam perlawanan klasifikasi kesembilan hingga 16 menentang pasukan di tangga keempat Kumpulan B, Mesir pada Isnin ini.

Terdahulu, Argentina mengekalkan rekod 100 peratus kemenangan dalam aksi peringkat kumpulan apabila membenam Chile 8-0, sekali gus mengumpul sembilan mata maksimum.