Final Jelajah Dunia: Hadiah wang tingkat prestasi

Iklan
Aaron-Wooi Yik akan mengalas cabaran di WTF tahun ini. FOTO: AFP

BEREGU lelaki terbaik negara Aaron Chia percaya kenaikan dengan jumlah yang besar wang hadiah kemenangan ditawarkan Final Jelajah Dunia (WTF) tahun ini, akan meningkatkan lagi prestasi beliau dan pasangannya Soh Wooi Yik pada kejohanan penutup musim 2023, di Hangzhou China dari 13 hingga 17 Disember ini.

"Dapat wang hadiah kemenangan seperti dapat 'ang pau'. Secara amnya, wang ditawarkan bagus untuk sukan badminton,” katanya pada sidang media berkaitan WTF 2023 di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sebelum ini mengumumkan bahawa WTF kekal menjadi kejohanan badminton paling mahal, dengan badan itu menyediakan hadiah AS$11.5 juta (RM53.7 juta) untuk tempoh empat tahun.

Menurut BWF, jumlah hadiah untuk final tahun ini dan tahun hadapan masing-masing AS$2.5 juta (RM11.7 juta), manakala AS$3 juta (RM14 juta) untuk edisi 2025, diikuti AS$3.5 juta (RM16 juta) pada 2026.

Iklan

Sebagai perbandingan, sejumlah AS$1.5 juta (RM7 juta) disediakan pada edisi 2022 di Nimibutr Arena, Bangkok.

Aaron berkata, kejohanan tahun ini agak terbuka apabila kesemua pasangan beregu agak setara kekuatan mereka.

Iklan

"Dalam beregu lelaki, mana-mana pasangan berpeluang untuk menang gelaran. Untuk menang, semua kena konsisten,” katanya.

Pada masa sama Aaron mengakui mereka tidak berasa sebarang tekanan walaupun gagal melepasi peringkat kumpulan pada tiga kejohanan terakhir di WTF (2019, 2020 dan 2021).

Tujuh pasangan lain yang layak untuk edisi 2023 ialah pasangan nombor satu dunia dari China Liang Wei Keng-Wang Chang, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto (Indonesia), Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae (Korea Selatan), Takuro Hoki-Yugo Kobayashi (Jepun), Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen (Denmark), Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi (China) dan Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana (Indonesia).

Lapan pasangan tersebut akan dibahagikan kepada dua kumpulan, dengan dua terbaik dalam setiap kumpulan layak ke separuh akhir.

Sementara itu, Wooi Yik berkata, hadiah kemenangan tinggi akan meningkatkan lagi status badminton dalam kalangan peminat sukan di seluruh dunia.

"Ketika kami bermain di Sukan Olimpik Tokyo, badminton hanya satu sukan kecil berbanding yang lain. Diharapkan dengan peningkatan hadiah ini, akan membantu mempromosikan lagi sukan badminton,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, hadiah yang besar menunjukkan bahawa badminton mempunyai masa depan yang baik terutamanya pada generasi muda.

Sebagai rekod, tahun ini juara perseorangan masing-masing akan menerima AS$200,000 (RM933,000), manakala AS$210,000 (RM980,000) menanti juara beregu, diikuti masing-masing AS$100,000 (RM466,000) untuk tempat kedua dan AS$50,000 (RM233,000) untuk yang layak ke separuh akhir.