Keterlaluan samakan pimpinan Anwar dengan Israel - Yadim

Iklan
Hasanuddin Mohd Yunus

SHAH ALAM - Menyamakan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan golongan munafik dan rejim Zionis merupakan tindakan yang keterlaluan kerana jelas ia merupakan satu pembohongan serta memesongkan fakta.

Iklan
Iklan

Sehubungan itu, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Hasanuddin Mohd Yunus mengutuk tindakan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang melakukan perbandingan melampau kepada lawan politik.

"Menyamakan sikap munafik itu dengan kepimpinan Anwar yang konon menyekat dan tidak menyalurkan peruntukan kepada negeri-negeri di bawah pimpinan partinya (Pas) adalah satu pemesongan fakta nyata.

Iklan

"Ini kerana peruntukan kepada kerajaan negeri-negeri pembangkang disediakan dalam pelbagai bentuk dan saluran. Rujuk peruntukan yang telah disalurkan kepada negeri Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu dalam Belanjawan 2024,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Marang telah memuat naik satu hantaran di laman sosial, Facebook yang mendakwa konsep digunakan oleh Pakatan Harapan (PH) menepati demokrasi diamalkan oleh Israel terhadap Hamas di Palestin.

Iklan

Mengulas lanjut, Hasanuddin berkata, kenyataan yang tidak bertanggungjawab itu boleh menyebabkan banyak salah faham berlaku.

Pada masa sama, beliau turut menyelar tindakan menggunakan dalil agama untuk kepentingan politik dan meraih keuntungan dunia semata-mata.

"Adakah tindakan menyekat peruntukan khas ahli Parlimen pembangkang yang pernah dilakukan oleh kerajaan gabungan Abdul Hadi sebelum ini juga sama seperti sekatan dilakukan oleh Zionis Israel?

"Tuduhan beliau (Abdul Hadi) kali ini seperti menepuk air di dulang terkena percikan ke muka sendiri,” ujarnya.

Justeru, Hasanuddin menyeru kepada ahli-ahli politik Malaysia khususnya daripada kalangan umat Islam untuk menjauhi dan meninggalkan gaya politik kebencian.

Menurutnya lagi, rakyat Malaysia juga perlu berhati-hati dalam menerima dakyah yang membawa kepada corok pemikiran keterlaluan dan ekstrem terutama ke arah perpecahan.

Jelas beliau, Islam menyeru kepada keharmonian dan keamanan sejagat dan ia perlu dijadikan sebagai panduan dalam menyelesaikan masalah.

"Kembalilah kepada agama itu sebagai satu nasihat,” katanya.