Peminat Harimau Selatan, Penyu 'takluk' Stadium Nasional Bukit Jalil

Iklan
Kedua-dua penyokong pasukan JDT dan Terengganu FC merakam kenangan sebelum perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini. - Foto: FB Johor Southern Tigers

LAUTAN merah-biru dan hitam-putih ‘membanjiri’ Stadium Nasional, Bukit Jalil menjelang pertembungan final Piala Malaysia 2023 yang ditunggu-tunggu antara juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC di sini, malam ini.

Setakat jam 6 petang, cuaca di pekarangan stadium kebanggaan rakyat Malaysia itu mula mendung, namun suasana meriah dengan pelbagai acara serta aktiviti yang menarik perhatian penyokong kedua-dua pasukan, selain kehangatan Program Setahun Bersama Kerajaan Madani yang turut berlangsung di sini.

Iklan
Iklan

Tinjauan mendapati aspek keselamatan berada pada tahap optimum dengan anggota penguat kuasa dilihat bersiap siaga di sekitar stadium manakala anggota trafik mengawal lalu lintas di sepanjang jalan dan persimpangan utama menuju ke Stadium Nasional.

Pelbagai jualan seperti jersi pasukan, cenderahati, makanan dan minuman di sekitar gelanggang keramat pasukan bola sepak negara itu turut menyemarakkan keadaan menjelang final Piala Malaysia yang mempertemukan kedua-dua pasukan itu buat kali pertama.

Iklan

Penyokong JDT kebanyakannya hadir mengenakan jersi tuan rumah sambil menggayakan mafela berjalur merah-biru simbolik logo skuad Harimau Selatan manakala penyokong Terengganu tampil dengan pakaian berwarna hitam-putih iaitu warna rasmi skuad Penyu.

Pintu pagar Stadium Nasional dibuka kepada penyokong bermula jam 5 petang sementara sepak mula perlawanan akhir dijadual pada 9 malam.

Iklan

Rata-rata peminat yang ditemui membangkitkan kerisauan berkaitan permukaan padang Stadium Nasional yang ketika ini berada dalam keadaan tidak memuaskan sambil berharap tiada sebarang kecederaan serius menimpa pemain.

Penyokong JDT, Ahmad Sufian Idrus, 33, berkata, keadaan permukaan padang yang tidak memuaskan pasti akan merencatkan intensiti permainan, namun menaruh harapan tinggi pasukan kesayangannya muncul juara sekali gus mencatat rekod ‘double treble’.

"Saya terkejut bila gambar padang tular semalam kerana keadaan yang teruk, padang yang teruk memang akan buat permainan terjejas, tetapi saya tidak nampak itu jadi alasan JDT tak boleh menang,” kata pekerja sektor swasta berasal dari Pontian.

Pada masa sama, Zikri Razak yang berasal dari Besut, berharap perkara sama tidak akan berulang pada edisi final akan datang.

"Ini tidak sepatutnya terjadi, sebab ini adalah final, selama ini kita bermain di permukaan padang yang baik tetapi apabila sampai di final permukaan padang sebaliknya,” kata pekerja sektor swasta yang menjangkakan Terengganu mampu menundukkan JDT 2-1.

Sebanyak 80,000 penyokong dijangka membanjiri Stadium Nasional malam ini.

JDT merupakan juara tiga kali sejak penubuhan kelab itu pada 2013 manakala Terengganu memburu kejuaraan kedua selepas kali terakhir memenangi pada 2001.

Rekod lima pertemuan terakhir dalam semua pertandingan berpihak JDT yang melakar kemenangan 100 peratus dengan kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu berakhir dengan JDT menang 3-1 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus di Terengganu. - Bernama