KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan satu sindiket penyeludupan diesel bersubsidi dianggarkan berjumlah RM14.3 juta dalam satu serbuan pada Rabu.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, menerusi hasil risikan dijalankan Perisikan Siasatan Khas (PSK) Bukit Aman, satu serbuan telah dilakukan di Pelabuhan Klang, Selangor.
Beliau berkata, enam lelaki warganegara asing turut ditahan dalam serbuan tersebut.
"Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM14.3 juta dan kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Hazani berkata, bagi tempoh 1 Januari hingga 8 Disember 2023, PSK JKDNKA berjaya berjaya membuat 66 serbuan dan operasi terhadap barang kawalan serta diesel bersubsidi.
Menurut beliau, kesemua rampasan tersebut dianggarkan bernilai RM73.8 juta dan pihaknya juga menangkap seramai 240 orang.
"JKDNKA sentiasa komited untuk bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam memerangi penyelewengan barangan kawalan dan bersubsidi.
"Ini bagi memastikan hasil negara sentiasa dilindungi daripada kegiatan tidak bertanggungjawab dan isu ketirisan.
"Orang ramai dinasihatkan untuk menyalurkan maklumat kepada pihak polis agar kegiatan jenayah dapat dibanteras sepenuhnya," ujarnya.