Penyokong Terengganu pikul 'penyu' ke stadium

Iklan
Amirul memikul patung penyu untuk memeriahkan suasana perlawanan akhir Piala Malaysia.

AKSI final setiap perlawanan bola sepak tidak pernah terlepas daripada kemeriahan dan gelagat unik daripada penyokong kedua-dua pasukan.

Gelagat unik itu ditonjolkan salah seorang penyokong Terengganu FC (TFC) yang 'memikul' penyu ke Stadium Nasional Bukit Jalil sempena perlawanan akhir Piala Malaysia malam ini.

Iklan
Iklan

Penyu yang dimaksudkan bukanlah penyu sebenar sebaliknya patung penyu yang dipikul oleh penyokong TFC, Amirul Muhammad, 27.

"Saya cuba untuk menghiburkan penyokong TFC dan memeriahkan lagi aksi final malam ini. Saya teruja untuk menyaksikan TFC beraksi di pentas final malam ini," katanya.

Iklan

Dalam pada itu, Amirul turut percaya TFC mempunyai peluang menundukkan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi final malam ini biarpun pasukan dari selatan itu memiliki reputasi tinggi.

"Insya-ALLAH TFC boleh menang 2-0 dan saya jangkakan gol dijaringkan oleh Ivan Mamut.

Iklan

"Saya juga percaya TFC mampu menunjukkan permainan yang terbaik walaupun beraksi di atas permukaan padang yang tidak begitu cantik," katanya.

Shahanieza Nur Aisyah mengenakan pakaian baju pengantin di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Dalam pada itu, seorang lagi penyokong TFC, Shahanieza Nur Aisyah Shaharen mengenakan pakaian pengantin songket untuk memeriahkan suasana perlawanan akhir tersebut.

"Saya tidak kisah untuk berpakaian songket ini walaupun dalam cuaca yang panas.

"Kali ini, saya memakai serba songket kerana inginkan kemeriahan ‘suasano’ sahaja.

"Pakaian baju pengantin ini serta sanggul lintang yang dipakai hari ini adalah pinjaman daripada saudara saya," katanya.