JOHOR BAHRU - Jabatan Imigresen Negeri Johor menahan 57 warga asing hasil serbuan dalam Op Sapu di sebuah kawasan rumah pangsa di Pasir Gudang pada Jumaat.
Pengarahnya, Baharuddin Tahir berkata, operasi berkenaan turut menyaksikan seramai 374 warga asing dari Indonesia, Bangladesh, Pakistan, Nepal, India dan Filipina di periksa.
Operasi yang disertai 95 pegawai daripada Bahagian Penguat kuasa Negeri, Penguat kuasa Cawangan Batu Pahat, Pegawai Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Johor itu hasil risikan selama seminggu setelah menerima aduan awam mengenai kewujudan penduduk warga asing yang menimbulkan kegusaran dalam komuniti setempat.
Kesemua yang ditahan dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) iaitu tiada dokumen pengenalan diri dan Seksyen 15(1)(c) iaitu tinggal lebih masa serta lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Kesemua yang tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut.