MELAKA - Meskipun masih remaja, namun seorang pelajar lelaki tingkatan empat, sanggup mengorbankan masa untuk menjaga ibunya yang sakit akibat kemalangan jalan raya pada tahun lalu.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Molek, Muhammad Muhaimin Abd Razak,16, berkata, ada waktunya ketika berada di sekolah dia terpaksa bergegas pulang ke rumah untuk merawat ibunya sakit dengan berbasikal.
Menurutnya, mengakui bukan mudah untuk membahagikan masa belajar dan menjaga ibu, Azreena kalil, 41, yang mengalami patah tulang dari paras pinggang kiri hingga kaki, namun semua dilakukan demi kasih sayangnya kepada wanita itu.
"Selalu sebelum pergi ke sekolah saya akan salin lampin pakai buang ibu, dan sekiranya keadaan ibu tak sihat, ibu akan hubungi guru sebelum diberikan pelepasan pulang ke rumah," katanya.
Muhammad Muhaimin berkata demikian kepada pemberita ketika menerima kunjungan kali kedua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem di Taman Desa Duyong di sini, pada Jumaat.
Tambahnya, berharap ibunya yang mengalami patah kaki sembuh sepenuhnya, termasuk mendoakan bapanya Abd Razak Ahmad, 44, yang juga patah tiga batang tulang rusuk kiri akibat kemalangan itu lebih cekal dan tabah.
Azreena yang bekerja di bahagian kewangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, bersyukur dianugerahkan anak sulung yang bertanggungjawab dan sanggup berkorban demi keluarga.
Menurutnya, disebabkan tidak mampu menguruskan diri, dia mengakui terpaksa meminta anak sulung dua beradik itu pulang lebih awal sekiranya dia mengalami demam atau sakit perut.
"Guru sekolah juga memahami dan pernah juga Muhaimin hampir didenda kerana tiba lewat ke sekolah disebabkan menguruskan saya.
Sementara itu, Mohd Noor Helmy berkata, kisah ketabahan Muhammad Muhaimin yang berbakti kepada ibu telah menjentik hatinya selepas remaja itu datang sendiri ke Japerun dengan hanya berbasikal sejauh lebih satu kilometer untuk mendapatkan bantuan ambulans membawa ibunya ke hospital.
Menurutnya, dimaklumkan oleh kakitangan JAPERUN Duyong, remaja itu pernah menghantar borang permohonan bantuan untuk dipertimbangkan.
Katanya namun mengakui kekhilafan apabila pihaknya terlepas pandang mengenai permohonan tersebut.
"Saya minta maaf sebab menunggu selama setahun, dan kita akan berusaha memberikan bantuan kepada keluarga ini agar sentiasa di bawah perhatian kita.
"Kisah adik Muhammad Muhaimin yang menjaga ibunya sejak kemalangan yang menimpa mereka sekeluarga dapat dicontohi anak-anak muda yang lain," katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi nombor akaun Maybank 154026369769 atas nama Azreena Kalil.