GAZA - Jumlah rakyat Palestin yang terbunuh akibat serangan Israel di Gaza setakat Jumaat meningkat kepada 17,487, dengan lebih 46,480 orang cedera.
Menurut jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Ashraf Al-Qudra, 350 orang terbunuh dengan 558 lagi cedera dalam tempoh 24 jam lalu, manakala ramai lagi mangsa masih berada di bawah runtuhan.
Menurut Al-Qudra, 70 peratus mangsa serangan darat dan udara Israel membabitkan wanita dan kanak-kanak.
Tentera Israel juga masih menahan 36 kakitangan perubatan termasuk Mohammad Abu Salmiya, Ketua Pengarah Al-Shifa, hospital terbesar di Gaza, sejak 23 November lalu.
Memetik laporan Agensi Anadolu, Al-Qudra menyifatkan keadaan kesihatan di selatan Gaza sebagai malapetaka kerana semua hospital di kawasan itu kehabisan ruang untuk merawat pesakit, dengan kadar penggunaan katil di hospital pada tahap 262 peratus.
Sebelum itu, Al-Qudra berkata, pasukan perubatan menghadapi keadaan sukar di Al-Shifa, yang dikuasai tentera Israel bulan lalu, dan menggesa sokongan organisasi antarabangsa untuk membantu memulihkan sektor kesihatan Gaza.
Israel meneruskan serangan ketenteraannya di Gaza pada 1 Disember selepas berakhirnya jeda kemanusiaan selama seminggu dengan Hamas.
Angka kematian Israel dalam serangan Hamas berjumlah 1,200, manakala 138 tebusan masih ditahan oleh kumpulan Palestin di Gaza, menurut angka rasmi. - Awani