SHAH ALAM - Seorang pengguna TikTok berkongsi beberapa rakaman litar tertutup (CCTV) dari tahun 2020 hingga 2022 memaparkan insiden kanak-kanak autisme yang sering lari dari rumah.
Individu yang menggunakan nama akaun Mazuanfarishmanadam yang merupakan bapa saudara kepada kanak-kanak bernama Rayyan itu, mendedahkan bukan mudah untuk menjaga kanak-kanak autisme kerana sangat pantas berlari keluar sekiranya melihat pintu dalam keadaan terbuka.
"Bukan senang ye jaga anak autisme ni, selalu lari dari rumah, walaupun ramai yang jaga dalam rumah ni, tapi tetap terlepas pandang kadang-kadang.
"Pantang nampak pintu terbuka terus lari keluar. Rakaman CCTV Rayyan lari dari rumah tahun 2020-2022," katanya menerusi hantaran video berkenaan.
Bagaimanapun katanya, keluarga Rayyan amat bertuah kerana mempunyai jiran-jiran yang prihatin.
"Alhamdulillah dikelilingi jiran yang baik Felda Raja Alias 4, N9 (Negeri Sembilan) yang selalu prihatin, tolong hantar semula Rayyan ke pangkuan keluarga," tulisnya.
Hantaran tersebut turut mendapat reaksi pengguna lain yang mengakui perkara sama ketika berdepan anak autisme mereka.
Pemilik akaun @mamagorgon yang mempunyai tiga anak autisme berkata, dia dan suami sentiasa dalam keadaan bersedia untuk 'mengejar' anak-anak mereka.
"Saya ibu kepada tiga anak autisme, memang pelari pecut kami husb wife (suami isteri). Saya memang tak bawa handbag (beg tangan)...semua dalam poket je untuk ready (sedia) kejar anak if (jika) apa-apa (terjadi)," tulisnya.
Pemilik akaun @anakumie pula berkata, anaknya juga suka berlari ke jalan raya.
"Saya ada anak autisme...dia pun suka berlari ke jalan. Kalau dia lari mesti ke jalan raya, kadang nak kejar dia sampai tergolek-golek saya," katanya.
Seorang lagi pemilik akaun Tiktok bernama @Ngah pula menyifatkan kanak-kanak autisme mempunyai akal panjang untuk meloloskan diri daripada tempat berkunci.
"Betul, dia orang tak tahu benda bahaya dan ok atau tak. Anak saya pun sama selalu lari keluar rumah. Dah kunci dia orang boleh buka, akal panjang," katanya.
Bagi pemilik akaun NHASNISA, dia mengakui memerlukan tenaga yang banyak untuk mengejar anak autisme yang berlari keluar rumah.
"Kita kejar dia, dia lari udah main aci kejar..ye anak saya autisme ginilah kalau terlepas memang jenuh (sukar) nak kejar kita tak cukup nafas," katanya.