Isham dipecat UMNO kerana sudah melampaui batas - Khaled Nordin

Iklan
Mohamed Khaled

KOTA TINGGI - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil dipecat daripada parti kerana masalah disiplin susulan tindakannya mengkritik parti itu secara suka hati.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perbuatan tersebut sudah melampaui batas apatah lagi Isham merupakan seorang ahli MKT yang dilihat boleh mengganggu gugat kestabilan parti.

Iklan
Iklan

"Mana-mana ahli parti pun terutama UMNO sebagai parti yang besar, kita perlu pastikan tidak berlakunya tindak tanduk seseorang ahli yang gugat parti atau yang bercakap sesuka hati.

"Jadi bila dia 'cross the line', ahli Majlis Kerja Tertinggi berpendapat soal keluarkan pendapat, ada banyak cara dan pendekatan lebih-lebih lagi dia ialah seorang ahli MKT.

Iklan

Beliau yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Perancangan Pembangunan Bandar Kota Tinggi antara Majlis Daerah Kota Tinggi dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) - Institut Sultan Iskandar (ISI) di pejabat Majlis Daerah Kota Tinggi di sini pada Sabtu.

Turut hadir Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail.

Iklan

Mesyuarat MKT pada Jumaat memutuskan untuk memecat Isham berkuat kuasa serta-merta di bawa fasal 10.6 dibaca bersama fasal 5.9 Perlembagaan UMNO kerana melanggar etika ahli parti tersebut.

Pada Jumaat, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan Isham akan menerima surat berkaitan status keahliannya dalam parti itu pada masa terdekat.

Sebelum ini, media melaporkan MKT UMNO pada 6 Disember, bersetuju memecat Isham daripada parti dipercayai susulan kritikannya terhadap parti, yang dilihat bertentangan dengan pendirian UMNO sebelum ini dalam usaha memperkukuh Kerajaan Perpaduan.

Sementara itu, Khaled Nordin mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai Pengerusi UMNO Johor yang baharu pada Khamis bagi menggantikannya.

Beliau berharap Onn Hafiz dapat mengimbangi tugas dan tanggungjawab selain terus menarik sokongan rakyat terhadap kerajaan.

Menerusi sokongan itu katanya, kerajaan dapat menterjemahkan segala hasrat dan aspirasi parti supaya perkara-perkara yang diperjuangkan dapat dijadikan asas-asas dan dasar kerajaan.