PASIR PUTEH - Seorang nelayan warga Thailand dikhuatiri hilang dipercayai terjatuh dari bot semasa sedang melakukan kerja-kerja menangkap ikan berhampiran Pulau Perhentian, Terengganu pada Jumaat.
Mangsa yang dikenali sebagai Bhuntin, 45, disyaki terjatuh ke dalam laut ketika bot berada di kedudukan kira-kira 13 batu nautika dari pulau tersebut.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, operasi mencari dan menyelamat (carilamat) telah diaktifkan oleh Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan jam 11.15 malam.
"Dua aset Maritim Kelantan telah digerakkan ke lokasi kejadian untuk carilamat," katanya kepada pemberita pada Sabtu.
Menurut beliau, berpandukan kepada keterangan tekong, kesemua mereka sedang bekerja menangkap ikan kira-kira 17 batu nautika dari Pulau Perhentian.
Ujarnya, tekong tersebut mendapati kesemua lima orang kru masih berada di atas bot.
"Bagaimanapun mangsa didapati hilang ketika bot berada di kedudukan kira-kira 13 batu nautika dari Pulau Perhentian. Kali terakhir dilihat memakai baju berwarna hitam dan berseluar pendek berwarna khaki.
"Ketika ini carilamat di lokasi pencarian masih diteruskan namun sehingga kini tidak menemui sebarang petanda," katanya.
Beliau berkata, keadaan laut yang bergelora dan angin kencang di lokasi turut menjejaskan proses pencarian.
Ujarnya, jika tiada sebarang penemuan pada hari ini, operasi carilamat akan ditangguhkan pada jam 7 malam dan disambung semula pagi esok.