Kerajaan pertimbang anjur Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di peringkat negeri

Iklan
Anwar melawat tapak pameran sempena Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kerajaan Perpaduan mempertimbangkan untuk menganjurkan pameran seperti Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di peringkat negeri berikutan sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada minggu depan.

Iklan
Iklan

"Saya saksikan minat rakyat bertambah baik dan kalau dalam keadaan begini kita (kerajaan) mungkin menimbang dalam Mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan untuk memindahkan kegiatan pameran seperti ini.

"Ini bagi memberi pencerahan kepada rakyat di setiap negeri di negara ini," kata beliau kepada pemberita selepas meninjau Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.

Iklan

Mengenai lawatannya itu, Anwar berkata, program berkenaan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan malah kerjasama antara semua jabatan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat swasta adalah amat memuaskan.

Anwar juga meminta pengunjung terutama golongan muda supaya meneliti setiap langkah, kemudahan dan perkhidmatan yang dilaksanakan semua kementerian menerusi Program Setahun Bersama Kerajaan Madani.

Iklan

Program Setahun Bersama Kerajaan Madani diadakan selama tiga hari bermula semalam dengan acara kemuncak adalah majlis perasmian penutupan yang dijadual disempurnakan oleh Anwar, esok.

Program itu bertujuan untuk menyebar luas dan mempromosikan dasar serta inisiatif baharu setiap kementerian kepada rakyat di samping meningkatkan kesedaran umum dan kefahaman terhadap hala tuju kerajaan bagi membina kepercayaan serta keyakinan antara kerajaan dengan rakyat, melalui kaedah pelaporan pencapaian secara berkala. - Bernama