Jual nasi lemak RM1 demi anak hidap sindrom Down, paru-paru kronik

Iklan
Puteri Siti Noraishah (kiri) dan suami, Che Amirul sanggup berpanas dan berhujan menjual nasi lemak berharga RM1 sebungkus demi biayai belanja perubatan anak perempuan mereka yang menghidap sindrom Down dan paru-paru kronik.

KOTA BHARU - Sepasang suami isteri sanggup berpanas dan hujan semata-mata mahu menjual nasi lemak berharga RM1 sebungkus demi membiayai belanja perubatan anak perempuan mereka yang menghidap sindrom Down.

Lebih memilukan lagi, doktor mengesahkan Puteri Sumayyah Humairah Che Amirul yang berusia 18 bulan menghidap penyakit paru-paru kronik sekali gus memerlukan pasangan itu berulang-alik ke hospital dengan lebih kerap.

Iklan
Iklan

Ibu kanak-kanak berkenaan, Puteri Siti Noraishah Md Saat, 30, berkata, setiap bulan dia dan suami Che Amirul Anuar, 36, perlu ke hospital sekurang-kurangnya empat kali untuk anak bongsu daripada tiga beradik itu mendapat rawatan.

"Sebelum ini suami bekerja sebagai tukang cuci di sebuah pasar raya, namun disebabkan itu dia mengambil keputusan untuk berhenti kerja bagi memudahkan urusan Puteri Sumayyah Humairah ke hospital.

Iklan

"Selain itu, saya terpaksa menguruskan dua anak yang masih bersekolah masing-masing berusia enam dan tujuh tahun di rumah," katanya ketika ditemui di Kok Lanas pada Sabtu.

Menurutnya, bagi meneruskan kelangsungan hidup dan menampung sebahagian kos rawatan anak, mereka nekad untuk menjual nasi lemak di kawasan Pasar Kok Lanas pada sebelah pagi dan di tepi jalan utama di sini pada waktu petang.

Iklan

Ujarnya, walaupun berdepan dengan peningkatkan harga bahan mentah dia nekad menjual pada harga RM1 sebungkus sambil bersedekah untuk Puteri Sumayyah Humairah.

Bagi meneruskan kelangsungan hidup dan menampung sebahagian kos rawatan anak, Puteri Siti Noraishah dan suami, Che Amirul nekad menjual nasi lemak di kawasan Pasar Kok Lanas pada sebelah pagi dan di tepi jalan utama Kota Bharu pada waktu petang.

Puteri Siti Noraishah memberitahu, dengan cara tersebut dia berharap anak perempuannya itu akan diberikan kesembuhan.

Tambahnya, walaupun untung yang diperoleh itu agak kecil, namun ia cukup untuk menampung perbelanjaan mereka sekeluarga.

"Beban saya sedikit ringan apabila Puteri Sumayyah Humairah menerima bantuan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Kami jual dua jenis nasi lemak iaitu berlauk ikan bilis dan telur serta ayam," katanya.

Puteri Siti Noraishah berkata, mereka terpaksa membawa Puteri Sumayyah Humairah bersama setiap kali keluar berniaga kerana tidak mempunyai pilihan.

Jelasnya, kereta Perodua Kancil menjadi gerai utama selain tempat berteduh setiap kali hujan.

"Setiap hari kami mampu menjual 100 bungkus nasi lemak serta air balang dan kek yang turut dibuat oleh saya.

"Duit jualan dikumpul untuk bayar sewa rumah RM450 sebulan serta keperluan Puteri Sumayyah Humairah kerana dia bergantung kepada susu khas," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 1625-5309-9198 milik Puteri Siti Noraishah Md Saat.