TAMPIN - Kerajaan Negeri Sembilan berhasrat membawa pemegang taruh industri pelancongan luar negara ke negeri ini dalam usaha merancakkan kembali aktiviti inap desa.
Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, ia berdasarkan lawatannya ke London baru-baru ini dalam World Travel and Tourism Meet, World Travel Market London.
"Fasa pertama telah saya adakan di mana saya ke London sudah mengenal pasti siapa pemegang taruh yang boleh datang ke Negeri Sembilan, ini baru pengenalan.
"Selepas ini kita kena kuatkan hubungan supaya mereka ada kepercayaan ke atas komitmen kami untuk mempromosikan pelancongan kita di sini termasuk inap desa dan produk tempatan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Program D’Sawah Run Gemas 2023 di Kompleks Homestay Gemas, di sini, pada Sabtu.
Program sejauh lima kilometer (km), 10km dan 21km berkenaan berjaya menarik sebanyak 582 peserta menerusi 13 kategori yang dipertandingkan bermula kategori super junior bawah 15 tahun hingga veteren serta merancakkan industri Homestay Gemas.
"Saya rasa ini perlu masa tetapi jangan terlalu lama (sebab) Negeri Sembilan ini ada pelbagai produk yang menarik untuk dipromosikan seperti kalau di Gemencheh kita ada produk maman.
"Kalau penginapan kita ada inap desa, pelbagai aktiviti boleh dilakukan misal kata ada pelancong luar negara, kita sambut dengan persembahan tradisional, minum air istimewa kita air janda pulang guna enau, busana Negeri Sembilan dan kebaya setengah tiang," katanya.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan Negeri Sembilan juga dalam usaha meminda enakmen perundangan bagi memberikan kuasa kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menggubal undang-undang kecil berkenaan inap desa.
Katanya, selepas pandemik Covid-19, hanya terdapat sembilan daripada 15 industri inap desa antaranya Homestay Gemas, Lonek dan Pelegong yang masih aktif serta berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di negeri ini.
Menurutnya, atas dasar itu, pihaknya sedang berusaha untuk meningkatkan imej homestay supaya bersedia untuk menerima kedatangan pelancong khususnya pelancong luar negara yang berminat untuk mendapat pengalaman unik di negeri ini.