[DIKEMAS KINI] BARISAN Exco Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) bersetuju memilih timbalan presidennya, Mazlan Md Jail bagi memangku jawatan presiden badan induk berkenaan.
Naib Presiden 1 PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill pula dipilih bagi memangku jawatan Timbalan Presiden PKBM yang dikosongkan Mazlan sehingga tamat tempoh penggal 2026.
Keputusan itu dibuat dalam satu mesyuarat khas Exco PKBM yang diadakan di Melaka pagi tadi.
"Agenda utama mesyuarat khas Exco PKBM hari ini (Sabtu) adalah berkenaan kekosongan kerusi presiden selepas Datuk Abu Samah (Abd Wahab) meninggal dunia baru-baru ini.
"Tempoh pemangkuan bagi kedua-dua jawatan itu (Presiden dan Timbaalan Presiden (PKBM) adalah sehingga habis penggal ini (2026)," kata Amarjit kepada Sukan Sinar pada Sabtu.
Pada masa sama, Amarjit memaklumkan, semua jawatan lain yang disandang barisan Exco PKBM ketika ini masih kekal dengan status quo.
"Bagi memastikan segala setiap perancangan yang diatur sebelum ini berjalan lancar, kita turut membuat keputusan exco sedia ada akan memikul tugas masing-masing.
"Kita tidak mahu apa yang dirancang tergendala disebabkan perubahan besar dalam pucuk pimpinan, jadi ini satu langkah yang dianggap baik buat semua," jelasnya.
Pada Februari lalu, Abu Samah, 82, terus diberikan kepercayaan untuk menggalas tugas selaku Presiden PKBM bagi tempoh 2023 hingga 2026 selepas menang tanpa bertanding.
Namun, kerusi presiden kosong apabila Abu Samah yang menerajui PKBM sejak tahun 1990 meninggal dunia pada 28 November lalu susulan menghidap kanser prostat.
Pada Pemilihan Jawatankuasa Tertinggi PKBM bagi penggal 2023 hingga 2026 di Melaka, Februari lalu, Mazlan memenangi jawatan Timbalan Presiden.
Amarjit mengungguli jawatan Naib Presiden apabila meraih hampir 100 peratus undi, diikuti Mohd Saiful Abd Jalil, Dr Zaim Ahmad, Norazman Abu Samah dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.