FAMA siasat dakwaan beras putih tempatan tidak berkualiti

Iklan
FAMA akan menyiasat dakwaan beras putih tempatan tidak berkualiti atau berkemungkinan dibungkus semula seperti tular di media sosial. - Foto Bernama

IPOH - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan menyiasat dakwaan beras putih tempatan (BPT) tidak berkualiti atau berkemungkinan dibungkus semula seperti tular di media sosial.

Pengerusinya, Aminuddin Zulkipli berkata, pihaknya memandang serius dakwaan terbabit dan akan mengambil tindakan sewajarnya jika benar BPT yang berada dalam pasaran tidak berkualiti.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, sebelum ini terdapat isu berbangkit seperti isu beras dibungkus semula termasuk isu beras plastik tetapi setelah disiasat dakwaan terbabit tidak benar.

"Kalau dakwaan mengenai kualiti BPT ini yang paling baharu, namun begitu saya akan arahkan FAMA untuk ambil maklum perkara ini dan lakukan siasatan mendalam berhubung isu yang dibangkitkan pengguna.

Iklan

"Sebab melalui pengalaman lepas, dakwaan-dakwaan seperti ini ada yang asli dan ada juga yang palsu, jadi perlukan siasatan khusus dan mendalam supaya siasatan lapangan dapat dilakukan," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Keterjaminan Makanan Bersepadu anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Perak di Kolej TAJ, dekat sini hari ini yang turut dihadiri Yang Dipertua DPMM, Ir Kamarullafifie Ahmad.

Iklan

Aminuddin diminta mengulas satu tangkap layar seorang pengguna di laman media sosial Facebook IPOH STATION 18 AJERR yang mendakwa BPT diedarkan FAMA tidak mempunyai kualiti sama seperti sebelum ini, kerana mudah basi, tidak gebu dan lebih kusam.

Status dimuat naik pengguna Amira Amir pada 15 November lepas itu mendapat 157 komen dan lima perkongsian.

Sementara itu, Aminuddin menambah, FAMA setakat ini diberikan bekalan mencukupi dan menerusi laporan diterima pihaknya, bekalan BPT mencukupi untuk keperluan rakyat negara ini.

"Setakat ini stok beras memang mencukupi dan kami boleh mengagihkan BPT kepada setiap outlet di bawah FAMA menerusi Agrobazaar Kedai Rakyat, Agrobazaar Rakyat serta menerusi Program Jualan Agro Madani.

"Cuma saya nak maklumkan FAMA belum lagi menerima laporan dan aduan tentang kualiti beras setakat ini sebab beras ini sifatnya turut ada tamat tempoh iaitu selama enam bulan, jadi kita alu-alukan laporan daripada pihak pengguna," katanya. - Bernama