PETALING JAYA - Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin gemar melihat mural yang dilukis oleh penduduk di dinding tangga tengah naik ke rumahnya di Blok R, Apartment Idaman, di sini.
Seorang jiran Noorshamilla Kamaruddin,31, berkata,Zayn Rayyan yang merupakan seorang kanak-kanak lelaki autisme suka menggunakan tangga tengah itu semasa naik ke rumahnya untuk melihat lukisan mural yang memaparkan bendera negeri-negeri di Malaysia serta kartun watak"Marvel”, meskipun tangga hujung lebih hampir dengan rumahnya.
"Zayn Rayyan suka tengok gambar, pelukis mural pun orang sini, setiap tingkat memang ada lukisan mural ini tapi dekat tangga tengah sahaja. Lukisan ini dilukis pada masa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), dekat tangga bawah sekali ada lukisan Jalur Gemilang,” katanya ketika ditemui pemberita di pangsapuri itu, hari ini.
Sementara itu, seorang lagi jiran Esma Hakim, 28, berkata, sejak kejadian yang menimpa Zayn Rayyan, beliau tidak dapat menghantar tiga orang anaknya ke sekolah kerana mereka enggan dan takut ke sekolah.
"Tapi sekarang terus tak nak ke sekolah, sudah maklum kepada guru sebab dia takut, kita mak ayah pun jadi risau untuk lepaskan anak-anak,” katanya sambil memegang anak keduanya yang sebaya dengan Zayn Rayyan.
Esma juga berkata, suasana setiap aras di Blok R, Apartment Idaman kini agak sunyi, tidak seperti sebelum kejadian yang riuh rendah dengan gelagat kanak-kanak bermain pada waktu petang hingga Maghrib.
Seorang penduduk dari Blok S yang bertentangan dengan Blok R, Anzari Ali Ahmad, 68, juga menyatakan rasa bimbang kerana sejak 20 tahun beliau tinggal di kawasan itu, ini kali pertama kes sedemikian berlaku.
Beliau berkata, sebagai datuk kepada seorang kanak-kanak berusia tiga tahun, kebimbangan itu turut dirasai kerana cucunya selalu meminta untuk bermain di buaian yang sama dengan Zayn Rayyan selalu bermain.
Dalam pada itu, tinjauan mendapati lokasi kejadian masih dipasang garisan kuning polis dan pencarian petunjuk masih giat dijalankan oleh pihak polis.
Selepas dilaporkan hilang tengah hari Selasa lepas di Damansara Damai, Zayn Rayyan,6, ditemukan maut dalam aliran anak sungai berhampiran kediamannya pada keesokkan hari, kira-kira 200 meter dari blok kediamannya di Apartmen Idaman, Damansara Damai dan kes disiasat sebagai kes bunuh. - Bernama