Peniaga makanan laut tular dikompaun RM1,500

Iklan
Fuziah (tengah) menyempurnakan Karnival Rahmah Kasih Sayang Bangsa Johor 2023 di Stadium Bandaraya Pasir Gudang di Pasir Gudang pada Sabtu.
PASIR GUDANG - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sudah mengenakan kompaun RM1,500 terhadap peniaga makanan laut di Tepian Tebrau di sini selepas tular menjual makanan dengan harga yang terlalu mahal.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, kompaun tersebut dikenakan selepas pihaknya melengkapkan dua kertas siasatan terhadap peniaga terbabit.

"Peniaga ini dikompaun kerana kesalahan tidak meletakkan tanda harga dan terdapat unsur pencatutan iaitu menjual pada harga tidak munasabah.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Rahmah Kasih Sayang Bangsa Johor 2023 di Stadium Bandaraya Pasir Gudang di sini pada Sabtu.

Turut hadir Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo; Datuk Bandar Pasir Gudang, Datuk Asman Shah Abd Rahman dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

Fuziah berkata, apa yang berlaku itu seharusnya dijadikan pengajaran buat kedua-dua pihak iaitu peniaga perlu berniaga dengan telus manakala pengguna perlu tahu harga produk atau makanan yang dibeli mereka.

Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barang keperluan dalam Karnival Rahmah Kasih Sayang Bangsa Johor 2023.
Iklan
Iklan
Iklan
Iklan


Jelas beliau, pengguna mempunyai hak untuk tahu harga sebelum makan atau pun membuat sebarang pembelian.

Tambah Fuziah, tindakan kompaun tersebut tidak bertujuan sebagai hukuman kepada peniaga sehingga menyebabkannya menutup perniagaan sebaliknya sebagai pengajaran kepada semua pihak.

Oktober lalu, isteri kepada penyanyi Mawi, Ekin Rahmat meluahkan ketidakpuasan hatinya dengan mendakwa harga yang dikenakan sebuah kedai di medan selera Tepian Tebrau itu terlampau mahal iaitu berjumlah RM1,260.

Namun begitu, pemilik premis tersebut dalam satu video balas memberi penjelasan berhubung harga dikenakan dan memaklumkan harga itu adalah untuk hidangan dipesan seramai 20 orang.

Dia turut memperincikan setiap butiran hidangan yang dipesan Ekin sebagai justifikasi terhadap harga berkenaan.