Pelarian Rohingya lari dari India menuju Bangladesh

Iklan
Etnik minoriti Rohingya terus dihimpit kesengsaraan. - Foto AP

DHAKA - BANGLADESH. Puluhan Muslim Rohingya dilaporkan menyeberangi sempadan menuju ke Bangladesh dari India sejak beberapa hari lalu, ketika New Delhi berdepan kecaman kerana mengusir minoriti terbabit ke Myanmar.

Minggu lalu, India menyerahkan lima anggota keluarga Rohingya kepada pihak berkuasa Myanmar walaupun terdapat ancaman genosid ke atas pelarian berkenaan oleh tentera rejim Myanmar.

Iklan
Iklan

India, yang bukan penandatangan kepada Konvensyen Pelarian PBB, menahan 23 etnik Rohingya pada 2018, paling ramai sejak beberapa tahun lalu, ketika penganut tegar Hindu menggesa etnik minoriti itu diusir.

Pegawai sempadan Bangladesh berkata, puluhan Rohingya ditahan ketika menyeberang dari India menuju Bangladesh sejak minggu lalu, ekoran kebimbangan diusir pulang ke Myanmar.

Iklan

Mereka yang ditahan kemudian dihantar ke kem pelarian di selatan negara itu di mana satu juta etnik berkenaan hidup dalam kedaifan.

"Mereka memberitahu kami, mereka panik selepas India mula menahan pelarian Rohingya dan mengusir mereka ke Myanmar,” kata seorang pegawai polis, Shahjahan Kabir di bandar sempadan timur Bangladesh di Brahmanpara.

Iklan

Beliau memaklumkan AFP, 17 etnik Rohingya ditahan Khamis lalu selepas menyeberang masuk ke Bangladesh, diikuti 31 lagi di pintu sempadan berasingan. Kebanyakannya tinggal di India sehingga selama enam tahun, tambah Kabir.

Di Cox’s Bazar, daerah sempadan di mana kira-kira 720,000 Rohingya mendapatkan perlindungan daripada tindakan keras tentera Myanmar Ogos 2017, pihak berkuasa tempatan berkata, sekurang-kurangnya 57 etnik itu tiba sejak beberapa hari lalu. - AFP