KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan terus mendekati golongan pelajar dan mahasiswa bagi memperbetulkan persepsi negatif serta mengelak kumpulan tersebut daripada terjebak dengan perbuatan rasuah.
Ketua Cawangan Pendidikan Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Mohd Nur Lokman Samingan berkata, mesej antirasuah yang jelas perlu disampaikan kepada kumpulan sasar tersebut secara bersemuka.
Beliau berkata, pertemuan secara langsung akan membuka ruang kepada kumpulan sasar itu mendapat maklumat tepat termasuk mengenai isu semasa yang berlaku dalam negara.
Kata beliau, selain dapat mengetahui apa yang dilaksanakan oleh SPRM, usaha itu juga mampu memberi kefahaman tentang rancangan dan pelaksanaan yang dilakukan oleh kerajaan seperti Pelan Antirasuah Nasional.
"Kita tidak mahu golongan ini hanya mendapat maklumat tidak tepat hasil bacaan mereka di media sosial.
"Kefahaman kumpulan pelajar dan mahasiswa boleh dipertingkatkan serta persepsi negatif dapat diperbetulkan menerusi taklimat, ceramah, diskusi serta forum yang diberikan secara terus kepada mereka.
"Ini sangat penting kerana gambaran salah yang diperolehi kumpulan itu boleh memberi persepsi negatif dan merosakkan pemikiran mereka kepada institusi negara," katanya pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA 2023) yang diadakan di Universiti Asia Pacific (APU), dekat sini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Pencegahan), Datuk Seri Norazlan Mohd Razali dan Timbalan Naib Canselor Pembangunan Akademik APU, Prof Dr Murali Raman.
Mengulas lanjut, Mohd Nur Lokman berkata, usaha mendekati golongan sasar dilihat mendapat maklum balas yang sangat positif.
Menurut beliau, kefahaman yang jelas dalam kalangan pelajar dan mahasiswa diharap mampu mewujudkan generasi pemutus rantaian rasuah di negara ini.
Jelas beliau, sangat penting memberi kesedaran tentang bahaya atau kesan terlibat dengan perbuatan rasuah sama ada memberi atau menerima.
Tegasnya, perasaan takut untuk terlibat dengan aktiviti rasuah pastinya akan menghalang mereka daripada terjebak dengan jenayah tidak bermaruah tersebut.
Ditanya mengenai persoalan yang sering ditimbulkan oleh pelajar atau mahasiswa kepada SPRM, beliau berkata, kebanyakannya adalah melibatkan kes-kes yang digugurkan daripada pertuduhan serta siasatan berhubung kes-kes berprofil tinggi.
Oleh yang demikian katanya, penjelasan tepat dan fakta sebenar yang dikemukakan kepada golongan tersebut akan mampu memberi kefahaman sempurna berhubung persoalan ditimbulkan.
"Negara kita mempunyai sistem dan perkara itu dapat dilaksanakan dengan sempurna bergantung kepada masyarakat Malaysia itu sendiri.
"Ini kerana kita yang sebenarnya menentukan perjalanan sistem tersebut dilaksanakan dengan baik atau sebaliknya," ujarnya.