SHAH ALAM - Susulan kejadian malang yang menimpa kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, ramai dalam kalangan ibu bapa berkongsi video di TikTok berkenaan anak autisme mereka bagi meningkatkan kesedaran kepada orang ramai.
Tinjauan Sinar Harian mendapati beberapa pemilik akaun yang mempunyai anak autisme menyatakan rasa terkesan mereka terhadap kematian Zayn Rayyan.
Rata-rata mereka mengakui anak autisme sangat terdedah dengan risiko keselamatan kerana tidak mengenal erti takut sekiranya dilepaskan berseorangan kerana seperti berada dalam dunia sendiri.
Pemilik akaun Rinzaky|Akak Parody berkata, anaknya pernah lemas kerana terus berlari dan terjun sebaik sahaja melihat kolam renang namun sempat diselamatkan.
Katanya, pernah juga terjadi insiden di mana anaknya terlepas ke tanam permainan seorang diri, dan hanya disedari apabila dimaklumkan oleh jiran.
"Pernah kunci diri dalam tandas dan tak reti buka, pintu terpaksa dipecahkan.
"Pernah digigit, dicubit kawan autisme tapi tak reti beritahu parents. Balik rumah kaki lebam-lebam, peha ada kesan gigitan.
"Mereka tidak mempunyai kesedaran dan hanya fokus pada perkara yang mereka nak buat sahaja," katanya menerusi hantaran video tersebut.
Video dengan kapsyen 'Anak autismku cinta hatiku' itu telah mendapat lebih 19,000 tontonan.
Sementara itu, seorang lagi pemilik akaun Hang Kebun turut berkongsi video anaknya bermain buai seorang diri di luar rumah selama dua jam.
Katanya, dia sengaja membiarkan anak istimewanya itu bermain.
"Dari pukul 6 lebih sampai 8.30 malam dia kat luar. Main sorang-sorang tak ada kawan.
"Saja tak suruh dia masuk biar dia main...boleh p (pergi) kacau kejap-kejap ja.
"Dia paling suka bila pergi sekolah ramai kawan...bila balik rumah sunyi tak ada kawan.
"Sebak pula tengok dia...kesian..tak ada kawan. Sekolah pun seminggu dua hari ja.
"Walaupun muka apak dia ganas macam buakaw menangis juga la bila terkenang nasib dia," tulisnya di video berkenaan.
Video dengan tanda pagar #autismawareness itu mendapat lebih 25,000 tontonan.
Tinjauan di bahagian komen juga mendapati rata-rata pengguna TikTok lain memberikan kata-kata semangat selain menyatakan rasa sedih mereka dengan perkongsian tersebut.
Pada Selasa, Zayn Rayyan dilaporkan hilang namun ditemui meninggal dunia di anak sungai berdekatan kawasan kediamannya di Apartment Idaman, Damansara Damai, Selangor akibat dibunuh.
Pada awalnya, polis mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut, namun hasil siasatan mendapati terdapat unsur jenayah pada mayat, dan mangsa juga telah meninggal dunia di tempat lain sebelum diletakkan di lokasi tersebut.
Polis mengesahkan kanak-kanak itu maut dipercayai dicekik oleh pembunuhnya apabila bedah siasat dijalankan mendapati terdapat kesan kecederaan konsisten pada leher.
Selain itu terdapat luka lain yang pada mayat dipercayai kerana untuk mempertahankan diri.
Suspek juga dipercayai adalah individu terdekat yang mengetahui selok belok kawasan tersebut berikutan penemuan mayat adalah kawasan pencarian yang sudah dilakukan Unit Anjing Pengesan (K9) pada Selasa.
Susulan itu, polis telah merakam keterangan beberapa individu termasuk ibu bapa kanak-kanak tersebut bagi membantu siasatan.