Gaza di ambang kehancuran total

Iklan
Penduduk menyelamatkan seorang lelaki yang tertimbus selepas kediamannya runtuh dalam serangan udara terbaharu Israel di Deri El-Balah.

NEW YORK - Genting Gaza berada di ambang kehancuran total apabila gencatan senjata terbaharu yang diusulkan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) gagal diluluskan.

Kegagalan itu berpunca daripada tindakan sekutu kuat Israel, Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa veto untuk membatalkan resolusi yang ditaja bersama hampir 100 negara anggota PBB.

Iklan
Iklan

Mengulas situasi itu, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menyifatkan kegagalan gencatan tersebut memburukkan lagi krisis kemanusiaan di Gaza yang sudah pun melepasi tahap kronik.

"Gencatan senjata kemanusiaan amat diperlukan untuk mengelakkan malapetaka dengan implikasi yang tidak dapat dipulihkan untuk rakyat Palestin dan seluruh Asia Barat,” ujar Guterres.

Iklan

Draf resolusi itu menerima sokongan 13 ahli UNSC, United Kingdom (UK) bagaimanapun memilih untuk berkecuali.

Rejim Zionis menyambung kempen pengebomannya ke atas Gaza pada 1 Disember lalu selepas jeda kemanusiaan antara Israel-Hamas gagal diperbaharui.

Iklan

Sekurang-kurangnya 17,487 rakyat Palestin telah terbunuh dan lebih 46,480 lagi cedera dalam serangan udara dan darat yang tiada kesudahan ke atas enklaf itu sejak 7 Oktober berikutan serangan rentas sempadan oleh Hamas.

Angka kematian Israel dalam serangan Hamas pula kekal berjumlah 1,200 orang, menurut angka rasmi. - Agensi