KOTA BHARU - Seorang bekas eksekutif di sebuah syarikat nekad mengubah kerjaya kerana lebih bebas dan tidak mahu terikat dengan masa bekerja.
Nor Iznin Irfa Shaari, 30, membuat keputusan belajar menjahit melalui media sosial termasuk YouTube bermula tahun 2019.
Lebih menyukarkan Nor Iznin Irfa atau mesra dipanggil Irfa, apabila dia tidak mempunyai pengalaman dan keluarga juga bukan dalam bidang itu.
"Saya mula mencari peluang menimba lebih banyak ilmu termasuk mencari pengalaman di bawah Program Empower ECERDC dan Pusat Pembangunan Wanita Kelantan (PPWK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Panau pada tahun 2021," katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Irfa, wang simpanan yang ada dijadikan modal untuk membeli mesin jahit tetapi masih memikirkan produk yang sesuai dengan masyarakat serta cara menjual produk itu," katanya.
"Sejak itu, saya mula seronok menjahit bantal dan beberapa keperluan bayi termasuk tilam dan barut kerana mendapat maklum balas positif daripada mereka," katanya.
Menurutnya, bantal comel itu senang dibawa dan boleh dijadikan hiasan rumah, pejabat dan diletakkan dalam kereta atau restoran.
Bantal Irfa juga ada pelbagai bentuk dan warna yang menarik perhatian kanak-kanak serta sesuai untuk dekorasi.
"Pelanggan bukan sahaja meminta saya menjahit bantal berbentuk arnab, kucing dan burung hantu malah ada yang menempah bentuk bulan dan unicorn," katanya.
Bagi memastikan bantal yang dijahit lebih kemas, material digunakan juga berkualiti dan selesa iaitu kain minky yang dibeli secara dalam talian kerana lebih murah serta banyak pilihan.
Lulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Perniagaan Antarabangsa), City University College, itu memberitahu, pelanggan lebih menggemari bantal menggunakan material tersebut kerana lembut dan sejuk terutama untuk keselesaan bayi.
"Saya tidak mengambil masa lama menyiapkan bantal kerana menggunakan mesin pukal sebelum mengupah beberapa orang anak saudara memasukkan kapas ke dalam bantal yang siap dijahit," katanya.
Selain bantal, Irfa turut mahir menjahit pelbagai jenis pakaian, pengikat rambut, sarung gunting dan beg.
Justeru, Irfa mempunyai impian membuka premis di daerah Tanah Merah yang mengeluarkan produk bayi seperti tilam, barut pakaian dan aksesori.