KHAN YUNIS - Seorang wanita tua Palestin yang tular di media sosial selepas menyatakan bahawa usianya lebih tua berbanding negara haram Israel telah ditembak mati oleh penembak tepat askar rejim Zionis di luar rumahnya.
Hadiya Nassar, 79, muncul dalam sebuah video di mana wartawan Palestin, Saleh Aljafarawi, memegang kad pengenalan wanita itu sambil berkata:"anda lebih tua daripada Israel."
Difahamkan, Hadiya lahir pada tahun 1944 iaitu empat tahun sebelum penubuhan negara haram Israel.
Dalam video itu, Hadiya berada di hospital dan sedang dirawat selepas cedera susulan serangan udara Israel di Gaza.
Sementara itu, Saleh mengesahkan kematian Hadiya di laman media sosial X pada hari Khamis dan menulis:"Engkau syahid, kesayanganku. Semoga ALLAH memberikan rahmat-Nya kepadamu dan menempatkanmu di syurga."
Menurut saluran berita Al Jazeera, jiran yang juga sepupu Hadiya memberitahu bahawa wanita itu ditembak mati oleh penembak tepat Israel di luar pintu depan rumahnya.
Kematian Hadiya berlaku ketika jumlah kematian akibat kempen pengeboman Israel di Gaza mencapai 17,487 orang, termasuk 7,729 kanak-kanak, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza.
Antara yang syahid termasuk ahli akademik dan penulis Palestin Refaat Alareer yang menjadi sasaran serangan udara Israel pada Khamis lalu, bersama-sama adik perempuannya serta empat orang kanak-kanak.
Bilangan kematian orang awam di Gaza telah mendorong pertubuhan Dokor Tanpa Sempadan (MSF) untuk melabelkan kempen ketenteraan Israel di Gaza sebagai pembunuhan secara melulu. - Agensi