Beras Seri Menanti dijual peket kecil RM2, RM6

Iklan
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun (dua, kanan) menunjukkan beras jenama Seri Menanti.

KUALA PILAH - Kira-kira 2,500 peket beras pertama Negeri Sembilan dengan jenama Seri Menanti akan dijual semasa Pesta Bola Ngocha 2023 di Stadium Ngocha Kampung Budaya Terachi di sini, pada Sabtu depan.

Pegawai Daerah Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap berkata, ia merupakan jualan pengenalan beras Negeri Sembilan dan sebagai permulaan beras itu akan dijual dengan harga RM2 bagi satu kilogram (kg) dan RM6 untuk tiga kg.

Mohd Faizal menunjukkan beras jenama Seri Menanti yang akan dijual pada program Pesta Bola Ngocha 2023.

Iklan
Iklan

"Semuanya sudah dibungkus dalam peket kecil (satu dan tiga kg) dan dijual dengan harga istimewa sempena perasmian di bawah harga subsidi.

"Kesemua hasil jualan kita akan derma ke Tabung Palestin Kerajaan Negeri Sembilan dan sekiranya 2,500 paket itu habis terjual baru kita akan pasarkan dengan kuantiti lebih banyak," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Iklan

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, produk beras pertama di Negeri Sembilan dengan jenama Seri Menanti dijangka berada di pasaran pada bulan ini.

Keluaran beras yang melibatkan tanaman padi seluas 20.2 hektar di Terachi di sini, mampu menghasilkan sebanyak 90 tan beras Super Special Tempatan (SST).

Iklan

Mohd Faizal berkata, dalam masa sama usaha itu antara lain untuk merancakkan lagi pelancongan di Kuala Pilah termasuk di Negeri Sembilan sekali gus menjadi satu tarikan baharu untuk orang ramai datang ke daerah ini.

Beras jenama Seri Menanti yang akan dijual pada program Pesta Bola Ngocha 2023.

"Sebelum ini beras yang dikeluarkan Negeri Sembilan dihantar ke kilang di Melaka untuk diproses, namun pembungkusannya menggunakan jenama beras sedia ada di pasaran dan tiada identiti Negeri Sembilan," katanya.

Sementara itu, Pesta Bola Ngocha 2023 yang akan berlangsung pada 16 dan 17 Disember ini turut menyediakan pelbagai acara menarik antaranya ngoca ikan, panjat tiang licin, basikal titi dan tangkap itik.

Selain itu, terdapat juga persembahan menarik daripada residen artis Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah, Kuntum Band; buskers tempatan, Ambush Band dan Jasa Band.