DUNGUN - Isteri kepada seorang penyokong pasukan Terengganu FC (TFC) tidak menyangka pelukan dan ciuman diberikan suaminya sebelum memasuki Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) ketika final Piala Malaysia 2023 baru-baru ini adalah yang terakhir sebelum lelaki itu meninggal dunia akibat serangan jantung.
Nor Asiah Rashid, 37, berkata dia dan suaminya, Mohd Zaki Deraman, 57, serta anak mereka, Ziqry Ilham Haqyal, 9, duduk berasingan ketika perlawanan bola sepak itu berlangsung.
"Kami duduk berasingan kerana pergi bersama rakan-rakan. Sebelum masuk stadium saya ada tanya dia, abang OK ke duduk sekali dengan kawan-kawan, dia cakap tak apalah.
"Saya terkejut sebab secara spontan dia peluk dan cium saya macam kami nak 'berpisah' sedangkan dari tempat duduk saya itu, saya nampak dia dengan kawan-kawannya.
"Waktu itu saya tak fikir apa-apa sebab kami sudah biasa pergi stadium tengok bola sama-sama, cuma kali ini saya rasa sikap dia agak berlainan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Ahad.
Menurut Nor Asiah, dia tidak menyangka suaminya itu mengalami serangan jantung kerana hanya tahu lelaki itu ada memberitahu rakannya untuk ke tandas pada minit akhir perlawanan, malam Jumaat lalu.
"Waktu saya keluar stadium lepas habis perlawanan, saya telefon suami tapi polis yang angkat dan minta saya pergi ke ambulans di pekarangan stadium.
"Waktu itu dia tak beritahu lagi apa yang berlaku, cuma cakap suami pengsan dan minta saya buat pilihan nak ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dengan naik ambulans atau pergi sendiri naik LRT sebab waktu itu jalan jem," katanya.
Jelas Nor Asiah, suaminya disahkan meninggal dunia ketika tiba di HUKM dan jenazah dibawa pulang untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Baru, Kuala Abang, Dungun selepas Asar pada Sabtu.
"Saya bersyukur semua urusan untuk pengebumian jenazah suami bermula dari hospital sehingga tiba ke Terengganu berjalan dengan lancar.
"Saya juga berterima kasih kepada semua yang mendoakan kami sekeluarga dan semoga setiap doa anda semua diberikan dibalas dengan kebaikan," katanya.
Bercerita lanjut, Nor Asiah berkata, dia dan suaminya baru pulang menunaikan umrah pada 7 Oktober lalu.
Katanya, suaminya mempunyai rekod penyakit jantung dan pernah diserang penyakit itu pada 2019.