Kredit eMadani bantu pengunjung berbelanja

Iklan
Bantuan kredit eMADANI RM100 digunakan oleh pengunjung Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil untuk membeli makanan dan barangan dapur. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - Bantuan kredit eMADANI sebanyak RM100 yang diterima baru-baru ini digunakan oleh pengunjung Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil untuk membeli makanan dan barangan dapur.

Tinjauan Bernama mendapati, pengunjung memanfaatkan kredit berkenaan untuk membuat pembelian tanpa tunai dengan menggunakan aplikasi Touch 'n Go e-Wallet atau MAE Maybank.

Iklan
Iklan

Seorang pengunjung dari Kajang, Muhd Alif Mohd Azrul, 22, berkata, dia menebus sumbangan eMADANI itu semalam dan menggunakannya untuk membeli pelbagai makanan di khemah jualan usahawan di sini.

"eMADANI membantu saya berbelanja tanpa perlu keluarkan wang tunai, saya hanya perlu imbas kod QR menerusi MAE di gerai jualan peniaga," katanya kepada Bernama di sini pada Ahad.

Iklan

Masih berbaki RM60, Muhd Alif akan memanfaatkannya sebaik mungkin untuk meninjau pusat jualan usahawan dan mendapatkan produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang dipesan ibunya.

Seorang pengunjung dari Wangsa Maju, Siti Fatimah Ismail, 49, berkata, inisiatif bantuan kredit itu membantu suri rumah sepertinya berbelanja barangan keperluan dapur di Jualan Mega MADANI.

Iklan

"Saya beli kombo MADANI mengandungi tepung gandum, telur ayam dan sayur-sayuran selain serbuk pencuci pakaian, tisu dapur dan pelbagai barangan lain yang ditawarkan," katanya yang memanfaatkan kesemua kredit eMADANI di sini.

Sementara itu, seorang peniaga Norazlin Sahat, 49, berkata, ramai pengunjung terutama dari Lembah Klang yang hadir ke gerai jualannya membuat bayaran secara dalam talian sejak tiga hari program berlangsung bermula Jumaat lepas.

"Saya amat mengalu-alukan pelanggan menggunakan urus niaga tanpa tunai kerana lebih mudah dan cepat, tidak perlu menyediakan wang tunai untuk memberi baki kepada pembeli," katanya yang menjual kebab daging dan ayam. - Bernama