Agong berkenan rasmi tugu peringatan dua kapal perang British

Iklan
Al-Sultan Abdullah diiringi Tunku Azizah dan wakil Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia serta anggota kanan ATM melihat sauh yang ditempatkan bersama tugu peringatan HSM Repulse dan HSM Prince of Wales.

KUANTAN - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menyempurnakan majlis perasmian tugu peringatan dua kapal perang British, HMS Repulse dan HMS Prince of Wales di Teluk Cempedak di sini pada Ahad.

Kedua-dua kapal perang British itu ditugaskan untuk memintas armada pencerobohan Jepun ke Tanah Melayu ketika Perang Dunia Kedua pada 1941.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun pada 10 Disember 1941, kapal perang HMS Prince of Wales, kebanggaan Tentera Laut Diraja, dan HMS Repulse, kapal perang British terbesar ketika itu, telah ditenggelamkan di lokasi 61 batu nautika di luar pantai Kuantan, dua hari selepas pencerobohan Jepun ke Tanah Melayu.

Seramai 840 kelasi terkorban dalam kejadian itu termasuk Pegawai Pemerintah HMS Prince of Wales, Kapten John Leach.

Iklan

Majlis memperingati ulang tahun ke-82 kapal-kapal perang yang ditenggelamkan itu diadakan bersama sokongan Suruhanjaya Tinggi British di Malaysia dan Tentera Laut Diraja British.

Al-Sultan Abdullah (tiga dari kanan) ditemani Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyempurnakan majlis perasmian tugu peringatan HMS Repulse dan HMS Prince of Wales di Teluk Cempedak pada Ahad.

Lebih 200 tetamu hadir terdiri daripada wakil kerajaan Pahang, anggota kanan Angkatan Tentera Malaysia dan tetamu kenamaan asing.

Iklan

Dalam majlis itu, Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Ailsa Terry berkata, tugu peringatan itu akan memberi peluang kepada pelawat untuk merenung tentang betapa besarnya erti kehilangan akibat peperangan.

"Ia adalah satu penghormatan yang sewajarnya kepada anggota yang terkorban bersama kapal, dan juga sebagai peringatan bahawa warisan penting tentera laut seperti ini mesti dilindungi serta kekuatan hubungan UK (United Kingdom) - Malaysia.” katanya.

Tentera Laut Diraja British diwakili oleh Laksamana Muda Andrew Betton, Pengarah Peperangan Bersama di Pemerintahan Strategik United Kingdom, serta Penasihat Pertahanan United Kingdom dan ahli Syarikat Kapal HMS Spey.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, tapak bangkai kedua-dua kapal perang itu telah menerima liputan antarabangsa berikutan terbongkarnya aktiviti haram pada 2015.

Berikutan itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan pihak-pihak berkuasa Malaysia yang lain telah menghentikan aktiviti tersebut.

Pada 2015, Maritim Malaysia turut menahan sebuah kapal pengangkut ketika melakukan aktiviti haram di lokasi bangkai kapal tersebut dan merampas sejumlah barang artifak milik HMS Repulse dan HMS Prince of Wales.

Antara artifak yang dirampas ialah sebuah sauh dipercayai dari HMS Repulse, yang dihadiahkan kepada Malaysia oleh United Kingdom, dan dipamerkan di Muzium Tentera di Port Dickson.

Sauh tersebut kini ditempatkan di tugu peringatan yang terletak di Teluk Cempedak menghadap ke Laut China Selatan.

Sementara itu, cucu kepada mendiang Kapten John Leach, Henrietta Wood (Nee Leach) menzahirkan rasa berterima kasih kepada semua pihak termasuk Al-Sultan Abdullah di atas perkenan meletakkan memorial kapal perang di kawasan terbabit.

Beliau menyifatkan ia satu majlis yang sangat istimewa dan pasti memberi pengalaman berharga kepada dirinya.

"Majlis ini sangat mengharukan saya. Datuk saya (Kapten John Leach) adalah seorang kapten HMS Prince of Wales, namun beliau tidak gugur ketika itu.

"Kita berada di tempat yang paling sesuai untuk mengadakan majlis peringatan di lokasi berdekatan terus di mana HMS Prince of Wales dan HMS Repulse tenggelam tidak jauh di laut serta ia adalah peristiwa yang sangat mengharukan," ujarnya.