KONSERT Rossa Another Journey The Beginning yang berlangsung di Kota Kinabalu pada Jumaat, berjaya memukau hampir 4,000 penonton bukan saja dari Sabah tetapi dari negara jiran termasuk Brunei, Indonesia dan Singapura.
Lebih mengujakan, Datuk Seri Rossa atau nama lengkapnya Sri Rossa Roslaina Handiyani turut memberi kejutan dengan melantunkan lima lagu legenda dari penyanyi terkenal negara menerusi 'Medley Malaysia' ketika di tengah persembahan konsert.
Antara lagu yang dinyanyikan secara medley dalam konsert tersebut ialah Janji Manismu daripada Aishah, Suci Dalam Debu (Iklim), Fantasia Bulan Madu (Search), Bukan Cinta Biasa (Siti Nurhaliza) dan Antara Anyer dan Jakarta (Sheila Majid).
Menurut Rossa, lagu-lagu lagenda tersebut tidak pernah dinyanyikan sepanjang beliau mengadakan konsert Rossa Another Journey: The Beginning yang lain.
"Kita namakan lagu Medley Malaysia iaitu lagu-lagu Malaysia dari zaman lampau dan ini tidak pernah dinyanyikan di kota lain.
"Pengarah muzik saya melontarkan idea termasuk ini, jadi kita baru berlatih dan saya teruja untuk menyanyikan lagu-lagu ini," katanya ketika ditemui pemberita pada konsert yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Jumaat.
Walaupun dalam sidang akhbar sebelum ini penyanyi berasal Sumedang, Jawa Barat itu dikatakan mempunyai lagu malar segar yang masih diingati sehingga kini tetapi Rossa turut mengakui bahawa beliau juga membesar dengan lagu-lagu dari Malaysia.
"Jadi bagi saya ini bukan kejutan kepada penonton saja tetapi juga kepada saya sendiri kerana semuanya idea spontan.
"Jadi dalam medley ini ada banyak lagu seperti Search, Aishah, Siti Nurhaliza dan saya ketika itu masih kecil," katanya.
Ditanya mengenai sambutan daripada peminat, beliau begitu teruja kerana penonton memenuhi dewan SICC tersebut demi konsert yang pertama kali diadakan di Sabah.
"Saya dengar ramai orang datang Kota Kinabalu dan luar dari Sabah. Dari Singapura, Brunei, Kuala Lumpur, Sarawak pun datang malah orang kenamaan pun turun.
"Jadi Sabah 'best', hebat, penuh, teruja," katanya.
Konsert selama dua jam setengah itu diisi dengan lebih 20 lagu Rossa, antaranya Aku Bukan Untukmu, Ayat-Ayat Cinta, Hati Yang Kau Sakiti atau Sangcheo Badeun Maeum yang dinyanyikan dalam bahasa Korea dan beberapa lagu terbaharu dalam album Another Journey: The Beginning.
"Ini adalah konsert tour untuk album Another Journey sebagai album terbaharu saya. Mode dari album ini campuran daripada lagu-lagu lama tetapi keseluruhan lagu baru akan dinyanyikan," katanya.
Selain itu, Rossa turut menyanyikan lagu secara duet bersama Cakra Khan menerusi lagu Terlanjur Cinta dan bersama Marsha Milan dengan lagu berjudul Khanti.
Cakra turut mempersembahkan lagunya sendiri yang berjudul Mencari Cinta Sejati dan Kepada Hati manakala Marsha menyampaikan lagu berjudul Kembali Terang.
Sebelum konsert berakhir, Rossa turut 'menghadiahkan' aksi bermain drum selepas menyampaikan dua lagu penutup iaitu Pudar dan Hey Ladies bersama dua penyanyi jemputannya secara trio.
caption
1. Rossa ketika mempersembahkan lagu pada konsert Rossa Another Journey: The Beginning di SICC, Kota Kinabalu.
2. Rossa bertemu penonton ketika mengadakan persembahan Rossa Another Journey: The Beginning di SICC, Kota Kinabalu.
3. Rossa berduet bersama Cakra menerusi lagu Terlanjur Cinta dalam konsert Rossa Another Journey: The Beginning di SICC, Kota Kinabalu.
4. Rossa berduet bersama Marsha ketika menyampaikan lagi Khanti dalam konsert Rossa Another Journey: The Beginning di SICC, Kota Kinabalu.
5. Rossa ketika ditemui pemberita semasa mengadakan konsert Rossa Another Journey: The Beginning di SICC, Kota Kinabalu.
tamat