KUALA PILAH - Seorang bapa tekad mengumpul rakan-rakannya dari Kelab Basikal Tua Negeri Sembilan untuk berarak sempena majlis perkahwinan anaknya di Kampung Bemban, Senaling pada Ahad.
Lebih meriah apabila pengantin lelaki mengayuh sendiri beca untuk membawa isterinya pada hari persandingan mereka sambil diarak 20 basikal klasik sejauh 300 meter dari Masjid Kampung Bemban, Senaling ke lokasi majlis.
Pasangan berkenaan, Muhammad Daniel Syimir Norhadi Hasan dan Nurhazwani Aqilah Mohd Hatta masing-masing berusia 21 tahun mengenakan pakaian berwarna hitam putih turut disambut dengan paluan kompang dari Felda Bukit Rokan Barat, Jempol.
Bapa pengantin, Norhadi Hasan Mohd Kasa, 46, berkata, keputusan untuk berarak dengan basikal klasik dibuat antara lain mahu mengumpulkan rakan-rakannya dari Kelab Basikal Tua Negeri Sembilan.
"Saya sudah lama tidak kayuh basikal tua, lama tidak bertemu rakan-rakan. Justeru hari ini adalah masa yang sesuai untuk kami bertemu sekali gus mencipta kenangan tersendiri pada majlis yang penuh bermakna ini.
"Anak saya juga bagaikan tidak percaya dengan apa yang saya rancang ini, lagipun kita sudah biasa melihat pengantin diarak naik tandu, kali ini kita buat sedikit kelainan," katanya ketika ditemui pemberita pada Ahad.
Sebelum itu, pasangan berkenaan telah diijab kabul pada 2 Disember lepas di Alor Gajah, Melaka sebelum mengadakan majlis resepsi sebelah pengantin lelaki pada Ahad.
Majlis resepsi pasangan ini menggunakan tema klasik bersesuaian pakaian mereka termasuklah dekorasi persandingan mereka dan hidangan makanan pengantin menggunakan panta.
Dalam pada itu, pengantin lelaki, Muhammad Daniel Syimir berkata, tidak dapat digambarkan dengan kata-kata akan kesungguhan bapanya itu untuk meraikan majlis penuh makna ini.
"Alhamdulillah ia berjalan lancar dan pengalaman ini tidak akan dapat saya lupakan walaupun ia berlangsung secara sederhana, namun cukup meriah," katanya.
Sementara itu, Presiden Kelab Basikal Tua Negeri Sembilan, Amran Yahya berkata, beliau berpuas hati apabila dapat menunaikan hasrat ahlinya yang inginkan kelainan pada majlis persandingan anaknya.
"Kami lakukan ini sekadar suka-suka dan santai, setidak-tidaknya dapat memeriahkan majlis selain dapat memperkenalkan pelbagai jenis basikal klasik kepada golongan muda," katanya.