SEMUA rakyat Malaysia menanti 2020 sebagai tahun keramat pencapaian kepada satu visi negara yang diperkenalkan sejak awal 90-an. Visi 2020 adalah gambaran kepada sebuah masyarakat yang akan dikenali sebagai Bangsa Malaysia.
Visi ini menjadikan masyarakat majmuk kepada sebuah masyarakat yang merangkul kepelbagaian dengan mengasaskan apa yang disifatkan sebagai masyarakat liberal ke arah keterbukaan dan hormat menghormati dalam kerangka undang-undang dan Perlembagaan Negara.
Secara ekonomi, 2020 adalah terlaksananya Malaysia menjadi sebuah negara maju dengan pendapatan perkapita setara dengan negara maju yang lain. Detik munculnya 2020 semakin menghampiri rakyat Malaysia.
Menjadi tanggungjawab kita untuk menilai dan bermuhasabah apakah hasrat besar ini sudah tercapai ataupun paling kurang kita telah menghampirinya?
Sejujurnya, insiden dalam negara tidak mengisyaratkan masyarakat kita bersedia sepenuhnya menyambut 2020 dalam kerangka visi yang diilhamkan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Kehadiran Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan di ambang 2020 setelah menghampiri untuk tahun kedua pemerintahannya - menuntut kepimpinannya bekerja lebih keras dan lebih bijaksana.
Cabaran besar kerajaan PH adalah bagaimana ia terpaksa menangani isu kaum dan agama sempit yang menjadi penghalang utama kepada cita-cita Bangsa Malaysia.
Pada waktu yang sama, PH turut tertekan dengan desakan pihak yang mendakwa mengamalkan kebebasan bersuara tetapi mengundang tindakbalas negatif kepada golongan yang mempertahankan status-quo.
Cabaran 2020 ialah keazaman kepimpinan negara untuk menangani setiap kumpulan melalui dialog dan meja rundingan. Pemimpin hari ini tidak boleh lagi berada dalam set minda 'pelayaran lancar' dan 'semuanya beres'.
Setiap kelompok memerlukan keyakinan bahawa Malaysia Baharu menjamin suara mereka didengari dan penyelesaian nasional dicari bersama.
Kerajaan PH perlu bersedia menyambut 2020 dalam keadaan bersiap sedia kepada 'cuaca buruk' dan 'keadaan lebih teruk' daripada apa yang dijangkakan.
Hanya dengan set minda ini, pimpinan negara dapat mengharungi cabaran iklim tidak menentu 2020. Ia bukan suasana kerja seperti biasa atau 'bussiness as usual'.
Set minda hari ini menuntut kita tidak boleh bersikap 'simplistic' terhadap semua kritikan dengan membawa isu legasi UMNO/BN.
Tahun 2020 untuk PH ialah menerima kritikan secara terbuka dan membawa kepada solusi di bawah naratif Malaysia Baharu.
Di sinilah perdebatannya akan menjadi sangat mencabar iaitu berfikir cara menyelesaikan masalah yang diwarisi melalu kerangka baru yang menuntut ide yang segar dan mencabar status-quo zon keselesaan.
Tahun 2020 adalah kesediaan kita meyakinkan rakyat mengapa PH berada di tempatnya hari ini. Keluar dari kepompong UMNO/BN bukanlah mudah bagi rakyat dan PH harus menghargai pengorbanan yang dilakukan oleh rakyat.
Meyakinkan rakyat bahawa PH layak menjadi sebuah kerajaan untuk membawa 2020 dan seterusnya menuntut kesungguhan menjayakan polisi-polisi baru dari setiap kementerian.
Menteri-menteri PH tidak boleh selesa dengan 'bussiness as usual'. Mereka harus bawa naratif baru, berhujah dengan naratif baru dan menghasilkan natijah yang dapat dirasai oleh rakyat.
Cabaran dari penentang PH bukan perkara baru malah pergelutan menuju tangga kuasa akan menjadikan penentangnya terdesak menggunakan perkauman dan agama sempit sebagai bahan murahan.
Manakala respon kepada tindakan terdesak penentang PH akan melahirkan jalur baru yang akan mengasak kepada keterbukaan yang lebih ekstrim.
Pemimpin PH selayaknya melepasi dan merentasi batasan kelompok ini kerana sebagai kerajaan, PH harus tumpu kepada menjayakan gagasan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang membuka landasan kepada semua pihak dalam kerangka negara yang lebih besar.
Bagi menangani kelompok yang menggunakan kaum dan agama sempit, dasar RAHMAH dalam kerangka Rahmatan Lil Alamin perlu terus menguasai rakyat Malaysia.
Cabaran 2020 juga adalah tentang kebangkitan pemikiran ekstrim pada jalur Islamophobia dan Melayuphobia dalam kerangka kebebasan berpandangan.
Saya mengucapkan selamat datang tahun 2020 dan sempena tahun baru ini, setelah semua sambutan dan bunga api yang mengindahkan malam tahun baru, saya perlu kembali bersiap sedia menyambut ‘cuaca buruk’ berpanjangan.
Mungkin orang akan mengatakan saya pesimis, tetapi saya menyatakan bahawa keberlangsungan PH ialah kejayaannya mengharungi cuaca yang tidak menentu ini dan keluar sebagai pemenangnya untuk terus memimpin lewat 2020.
Selamat Tahun Baru 2020.
* Datuk Seri Dr Mujahid Yusof ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama)