KUALA NERUS - Kerajaan Terengganu meneliti dan akan mencari penyelesaian terbaik mengenai aduan berhubung isu parkir berbayar yang didakwa memberi tekanan kepada peniaga di Dataran Rimba Square di sini.
Exco Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, mesyuarat khas mengenainya telah dijalankan dan keputusan akan dibuat bagi memastikan operasi perniagaan di situ berjalan lancar.
"Saya meneliti segala aduan daripada pihak berkenaan dan telah berbincang dengan Ahli Parlimen Kuala Nerus, wakil rakyat, Ahli Majlis (Majlis Bandaraya Kuala Terengganu).
Dalam pada itu, Wan Sukairi berkata, kerajaan tidak meminggirkan keluhan rakyat dan akan mencari kaedah terbaik bagi memastikan mereka tidak berasa ditindas.
"Sudah semestinya kita mendengar segala aduan dan rintihan rakyat dan akan melakukan yang terbaik untuk semua, Insya-ALLAH," ujarnya.
Sebelum ini, kebanyakan pekerja dan peniaga di situ tidak bersetuju dengan pelaksanaan parkir berbayar kerana bukan sahaja membebankan malah menyebabkan pelanggan semakin berkurangan.
Isu mengenai parkir kenderaan di Dataran Rimba Square di sini timbul setelah tiga daripada pondok bayaran parkir kenderaan di situ dirosakkan individu tidak bertanggungjawab.
Kali pertama kejadian itu berlaku pada 8 Oktober lalu di mana sebuah pondok bayaran parkir dibakar disusuli dengan sebuah lagi pondok dipecahkan di lokasi sama pada 4 Disember lalu.
Selang tidak sampai 24 jam, sebuah lagi pondok yang berada berdekatan kawasan itu juga dirosakkan dengan dibakar dalam kejadian pada 5 Disember lalu
Sehubungan itu, polis giat mengesan saksi kes pecah dan bakar dua pondok bayaran parkir kenderaan tersebut.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, setakat ini pihaknya menerima dua laporan yang dibuat pengadu di Balai Polis Gong Badak.