Agong rasmi tugu peringatan HMS Repulse, HMS Prince of Wales

Iklan
Al-Sultan Abdullah berkenan mendengar penerangan wakil Leonardo, Datuk Edward Unwin ketika berangkat ke Tugu HMS Repulse dan HMS Prince of Wales di Kuantan hari ini. - Foto Bernama

KUANTAN - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan berangkat bagi menyempurnakan perasmian sebuah Memorial memperingati dua kapal perang Britain HMS Repulse dan HMS Prince of Wales, di Teluk Cempedak, di sini.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenaan berangkat hadir bersama ke majlis yang diadakan sempena ulang tahun ke-82 karamnya kapal-kapal berkenaan.

Iklan
Iklan

Turut hadir, Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia Ailsa Terry CMG, cucu kepada kapten HMS Prince of Wales Henrietta Wood, Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang, pegawai-pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia dan orang kenamaan asing.

Memorial itu turut mempamerkan sauh, dipercayai dari salah sebuah kapal berkenaan, dihadiahkan kepada Malaysia oleh United Kingdom, yang sebelum ini dipamerkan di Muzium Tentera di Port Dickson, Negeri Sembilan sebelum ini.

Iklan

HMS Repulse dan HMS Prince of Wales adalah sebahagian daripada skuadron tentera laut British Force Z, yang ditugaskan untuk memintas armada pencerobohan Jepun.

HMS Prince of Wales dan HMS Repulse yang belayar tanpa pengiring udara, karam 61 batu nautika di luar pantai Kuantan pada 10 Dis 1941 susulan selepas serangan sengit oleh pesawat pengebom dan torpedo Jepun.

Iklan

Wood, 64, dalam ucapannya di majlis itu berkata datuknya Kapten John Leach adalah antara 840 orang hilang di perairan dalam Laut China Selatan selepas kedua-dua kapal perang itu karam.

"Saya harap memorial ini bukan sekadar untuk mengenang 840 orang yang terkorban, tetapi juga sebagai ingatan kepada kita untuk mempelajari sejarah dan melihat masa depan dengan penuh harapan, persefahaman dan rasa hormat antara negara.

Beliau turut menyampaikan ucapan terima kasih terhadap usaha membangunkan memorial itu khusus bagi memperingati"mereka yang berani, dan memberikan sepenuhnya kepada tugas dan tanggungjawab”.

Dalam ucapannya yang menyentuh perasaan, Wood berkongsi bahawa kali terakhir beliau melihat bapanya itu ialah hanya beberapa jam sebelum Force Z belayar.

"Pada petang 10 Disember, selepas kedua-dua kapal perang itu karam, ayah saya menuju ke dermaga di Singapura untuk cuba mendapatkan berita tentang bapanya.

"Dengan rasa kecewa, harapan yang semakin tipis, dia kembali ke bilik,” katanya.

"Kehilangan bapanya pada usia yang begitu muda dan dalam keadaan yang begitu dahsyat, saya percaya ia menyumbang kepada keazamannya untuk melakukan yang terbaik sepenuhnya dalam Tentera Laut Diraja dan dia mendedikasikan hidupnya untuk memberikan perkhidmatan terbaik. Dia pasti mahu bapanya berbangga dengannya," katanya.

Sementara itu, Terry dalam satu kenyataan kepada media berkata, memorial itu akan memberi peluang kepada pengunjung untuk merenung kembali betapa besar harga yang kerugian dan kos peperangan.

"Ia adalah satu penghormatan yang sewajarnya kepada anggota yang terkorban bersama kapal dan juga sebagai peringatan bahawa warisan penting tentera laut seperti ini mesti dilindungi di samping kekuatan hubungan UK-Malaysia," katanya. - Bernama