SHAH ALAM - Pemenang utama program Kempen Beli & Menang 10 tahun al-Quran Karya Bestari menganggap hadiah RM1,000 yang diterima sebagai ‘rezeki terpijak’ selepas melakukan solat sunat Duha di rumahnya.
Guru al-Quran, Norsham Noordin, 55, berkata, dia tidak menyangka dengan membeli beberapa naskhah al-Quran untuk kegunaan 15 anak murid menjadikannya layak memperoleh kemenangan tersebut.
"Saya pun bergegas memandu dari Kota Kemuning ke Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk terima hadiah RM1,000 yang akan disalurkan ke akaun Tabung Haji.
"Dengan hadiah kemenangan ini, saya mahu gunakan untuk pelaburan dan juga beri sedikit sedekah kepada golongan yang memerlukan, insya-ALLAH,” katanya ketika ditemui sekitar Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2023, di sini pada Ahad.
Selain Norsham, seramai 100 pemenang lain yang membeli produk daripada Karangkraf turut membawa pulang telekung berjenama daripada Siti Khadijah, sejadah eksklusif Naelofar dan hamper al-Quran terbitan Karya Bestari.
SIBF 2023 dianjurkan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) bermula 1 hingga 10 Disember di MBSA yang melibatkan 225 pempamer tempatan dan antarabangsa seperti Indonesia, Azerbaijan, Australia serta Turkiye.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi GBK, Izzat Izhar Muhammad Nasir memaklumkan, pihaknya merasa gembira dan berpuas hati dengan sambutan menggalakkan daripada pengunjung SIBF 2023, terutamanya pembeli al-Quran, buku serta novel.
"Diharapkan pembeli tidak jemu untuk menyokong dan gembira dengan perkhidmatan yang kami tawarkan sepanjang pesta buku berlangsung.
"Semoga penganjuran tahun depan akan diadakan dengan lebih meriah serta mampu menarik ramai orang untuk hadir ke pesta buku, terutamanya melawat reruai Karangkraf,” ujarnya.