SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pelakon dan pengarah, Sabri Yunus, 62, dan isteri, Angeline Tan, 56, berangkat ke Tanah Suci bagi menunaikan umrah.
Khabar gembira itu dimaklumkan oleh Sabri menerusi perkongsian di Facebook, yang turut memohon doa ramai agar dipermudahkan segala urusan sepanjang mereka menunaikan ibadah itu nanti.
"3.30 pagi, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), terima kasih anak-anak dan sahabat yang menghantar kami.
"Alhamdulillah, kami akan berangkat ke Jeddah pada tujuh pagi ini, syukur kami dijemput, terima kasih Perwira Holidays doakan kami," kongsinya di Facebook miliknya pada Ahad.
Dalam pada perkongsian itu, Angeline tampil manis dan cantik menggayakan tudung labuh dan jubah berwarna hitam, dia turut menerima pelbagai kata-kata positif dan semangat diberikan netizen kepadanya agar memperoleh umrah yang mabrur.
Menurut AzieZan Ahmad, dia berdoa kepada pasangan itu semoga selamat pergi dan kembali dari Tanah Suci.
"Semoga selamat pergi dan kembali serta mendapat umrah yang mabrur...Alhamdulillah," katanya.
Doa Zulkifli Ismail pula semoga pasangan berkenaan dipermudahkan segala urusan.
"Sentiasa diberikan kesihatan yang baik semasa menjalankan ibadah serta sentiasa di dalam lindungan Yang Maha Esa," katanya.
Pada 14 Oktober lalu pasangan ini bernikah, mereka dinikahkan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau Dr Maza.
Sabri dan Ageline digandingkan buat kali pertama menerusi drama Pak Din KK pada 1992. Ketika itu, Angeline menganggapnya sebagai guru dalam lakonan.
Mereka kemudian meraih populariti menerusi sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu. Dalam sitkom itu, mereka menggalas watak Wan Ismail Golok dan Lucy.