PETALING JAYA - Anggota Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilihat membawa keluar empat beg kertas dari blok unit kediaman keluarga Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin di Apartmen Idaman, Damansara Damai dekat sini pada Ahad.
Tinjauan Sinar Harian mendapati beberapa anggota Unit Forensik berkenaan hadir kira-kira jam 4.15 petang di kediaman keluarga mangsa.
Difahamkan, siasatan dijalankan kira-kira 45 minit di lokasi berkenaan dipercayai sebagai usaha mengesan petunjuk baharu dengan mengambil bukti dan sampel asid deoksiribonukleik (DNA).
Turut kelihatan empat beg kertas berwarna coklat dipercayai sampel dari kediaman Zayn Rayyan dibawa pasukan forensik selepas selesai membuat pemeriksaan.
Proses pengambilan sampel DNA itu selesai kira-kira jam 5 petang sebelum beberapa anggota unit forensik berkenaan dilihat meninggalkan pekarangan blok unit kediaman keluarga Allahyarham.
Sebelum itu, pihak polis dilihat menjalankan pemeriksaan di sebuah stor yang dijadikan tempat simpanan motosikal berdekatan salah sebuah blok di kawasan Apartment Idaman di sini.
Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Forensik PDRM difahamkan menjalankan pemeriksaan lebih empat jam di stor yang terletak kira-kira 50 meter dari kediaman mangsa.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengesan petunjuk berkaitan kejadian.
"Seramai 48 individu termasuk ibu bapa mangsa, guru, jiran serta saksi bebas telah dirakam keterangan setakat ini," katanya.
Pada Rabu, mangsa berumur enam tahun itu ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.
Mangsa yang dipercayai dibunuh itu ditemui oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya.
Zayn Rayyan sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan kediamannya pada tengah hari, Selasa lalu sebelum mayatnya ditemui di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya pada malam Rabu.