Produk hasilan haiwan dirampas di lapangan terbang

Iklan
Produk hasilan haiwan bernilai RM1,500 dirampas di LTAPP sepanjang sambutan perayaan Hari Natal lalu.

GEORGETOWN - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang berjaya merampas produk hasilan haiwan bernilai RM1,500 sepanjang sambutan perayaan Krismas lalu.

Pengarahnya, Zarina Ramli berkata, kesemua rampasan itu dibuat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas di sini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, rampasan itu dibuat ke atas penumpang dari pelbagai negara antaranya Indonesia; Australia, China dan Thailand.

"Antara produk hasilan haiwan yang dirampas adalah kambing; ayam, itik dan babi dengan jumlah berat 150 kilogram (kg).

Iklan

"Semua hasil rampasan dianggarkan bernilai RM1,500 yang dibawa masuk oleh penumpang dari pelbagai negara sempena perayaan Krismas lalu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi mengenai isu keselamatan makanan yang dibawa masuk dan tidak mempunyai permit import (IP) serta sijil kesihatan dari negara asal khususnya pada musim perayaan.

Iklan

"Selain itu, larangan pengimportan dan produk babi dari negara yang mengalami wabak penyakit African Swine Fever (ASF) dilakukan walaupun kemasukannya dibawa dengan kuantiti sedikit oleh penumpang secara 'hand carry' di laluan udara dan laut bagi menghalang risiko kemasukan penyakit ASF ke Malaysia.

"Pemantauan berterusan terhadap keselamatan makanan akan terus dilakukan bagi memastikan setiap penumpang mematuhi peraturan ditetapkan di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

"Penumpang dinasihatkan agar mematuhi peraturan yang ditetapkan dan peka terhadap larangan yang dikeluarkan oleh kerajaan bagi mengelakkan masalah semasa di ketibaan," katanya.

Katanya, Maqis sentiasa mengambil langkah lebih serius bersama agensi penguatkuasaan di sempadan dalam isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam industri pertanian negara.

"Tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan; ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara," katanya.