Nur Aishafarhana guna penapis teh kukus putu halba

Iklan

KOTA BHARU - Putu halba biasanya dimasak menggunakan alat pengukus khas namun seorang peniaga makanan itu di Jalan Pasir Hor dekat sini melakukan inovasi menggunakan penapis teh.

Alat pengukus sebenar putu halba didatangkan bersama satu periuk kukus dan beberapa kon kecil untuk diisi parutan ubi kayu dan disusun dalam periuk berkenaan.

Iklan
Iklan

Kuih putu halba. mendapat sambutan daripada pelanggan di gerainya di Jalan Pasir Hor dekat sini

Bagaimanapun, pengalaman Nur Aishafarhana Mat Noor, 27, lebih tujuh tahun lalu, air kukusan mengering menyebabkan pengukus hangus.

Iklan

Katanya, penggunaan kon pengukus untuk mengukus sebenarnya tidak menampakkan air menyebabkan dia terlupa untuk menambah air di dalam pengukus.

Ubi kayu parut diisi dalam penapis teh sebelum dikukus menjadi kuih putu halba.

"Lagipun, penggunaan kon pengukus juga terhad dengan keluasan pengukus sekali gus menjadikan proses itu lebih lama," katanya ketika ditemui di gerainya.

Iklan

Nur Aishafarhana memberitahu, penggunaan penapis teh lebih menjimatkan ruang dan boleh memuatkan kira-kira 20 biji putu halba pada satu-satu masa berbanding kon yang hanya 14 hingga 16 biji.

Jelasnya, penggunaan penapis teh juga lebih mudah dan tidak memerlukan banyak masa kerana kuih itu mudah masak.

"Penggunaan penapis teh dapat memastikan kuih masak di kedua-dua belahnya kerana wap panas dapat menembusi lubang halus pada penapis itu," katanya.

Jelasnya, berbanding penggunaan alat biasa, putu halba yang diletakkan dalam penapis teh boleh masak dalam tempoh lima hingga tujuh minit untuk 20 biji putu halba berbanding lebih sepuluh minit jika menggunakan konnya.

Nur Aishafarhana menunjukkan ubi kayu parut yang siap diisi dalam penapis teh.

Bagaimanapun katanya, sukar mendapatkan penapis teh yang berkualiti dan benar-benar sesuai digunakan dalam wap panas.

Kongsinya lagi, tidak banyak kedai yang menjual penapis teh yang boleh mengikut kesesuaian itu menyebabkan dia terpaksa mencarinya di beberapa kedai menjual barangan berkaitan.

Dalam pada itu, Nur Aishafarhana dapat menghabiskan 80 kilogram (kg) ubi kayu yang dimesin halus setiap hari dalam tempoh kira-kira lima jam berniaga bermula jam 2.30 petang.

Bagi memenuhi citarasa masyarakat kini, dia turut menjual putu halba cheese pada harga RM8 untuk tiga biji manakala yang biasa pula berharga RM5 empat biji.