KUANTAN - Taktik sekumpulan peniaga pasar mini berdekatan Pasar Besar Kuantan yang memelihara puluhan ayam hidup di dalam tandas akhirnya terbongkar selepas pihak berkuasa menyerbu premis berkenaan hari ini.
Premis yang kelihatan kemas dan tersusun di bahagian luar itu sebenarnya dipenuhi najis ayam di dalam tandas dan berbau busuk.
Ketua Seksyen Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Norkamawati Kamal berkata, ayam itu dikurung sebelum dijual kepada pembeli sekitar Pasar Besar Kuantan.
Menurutnya, MPK mengambil tindakan serta-merta mengeluarkan notis 24 jam untuk membersihkan premis selain mendapati mereka turut melakukan aktiviti yang menyalahi undang-undang.
"Operasi Bersepadu di antara MPK, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam dan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) itu turut membabitkan pemeriksaan15 premis perniagaan sekitar Pasar Besar Kuantan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, MPK juga menarik balik tiga lesen perniagaan runcit manakala 12 kompaun dan tiga notis dikeluarkan.
"Notis dikeluarkan atas kesalahan melanggar syarat lesen seperti sebuah kedai runcit tetapi melakukan aktiviti restoran. Pemilik premis ini diberi notis tujuh hari untuk mengeluarkan semua barang di dalam premis," katanya.
Norkamawati berkata, sebuah pasar raya juga didapati telah memasang kanopi tanpa kelulusan atau permit dan alamat lesen tidak sama dengan kelulusan asal.
"Pada operasi yang sama, Jabatan Imigresen menahan 17 warga asing manakala Jabatan Kastam menahan tiga individu berkaitan kesalahan rokok seludup.
"JAIP pula menahan lima individu beragama Islam di kedai nombor ramalan," katanya.