"SELEPAS ini stadium bola sepak atau hoki jangan lagi benarkan untuk konsert. Boleh sewa tetapi jangan benarkan penonton berdiri atas rumput. Main bola sepak berkualiti mestilah di padang berkualiti.”
Kenyataan itu saya petik daripada laman sosial Facebook milik seorang wakil rakyat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Datuk Mohd Puad Zarkashi.
Ikutkan apa yang dikatakan beliau ada benarnya. Sudah tentu beliau mahu melahirkan rasa kecewa dan marah selepas melihat di depan mata sendiri keadaan rumput padang di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Jangan kata beliau, bagi mereka yang hadir ke stadium pada Jumaat lalu, tidak kira penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT), Terengganu FC (TFC) mahupun orang kenamaan, sudah tentu mereka turut berkongsi perasaan sama.
Malah, peminat bola sepak yang menonton aksi final Piala Malaysia antara JDT dan TFC itu di kaca televisyen dapat menyaksikan secara ‘live’ keadaan padang di Stadium Nasional pada malam itu.
Macam-macam gelaran dan label diberikan. Ada yang kata, padang itu tak ubah seperti petak sawah. Ada juga yang melabelnya umpama trek balapan. Malah, ada yang menggelarnya kain perca bertampal-tampal.
Katalah apa saja, gelarlah apa saja, labellah apa saja. Semuanya itu tidak dapat mengubah apa-apa lagi. Keadaan padang stadium tetap sama, aksi final Piala Malaysia edisi ke-97 itu sudah pun berlangsung.
Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) selaku ‘penjaga’ Stadium Nasional telah mengeluarkan kenyataan permohonan maaf sehari sebelum aksi final tersebut. Tetapi itu belum meredakan kemarahan peminat bola sepak.
Masalah padang rosak itu juga sudah pasti mencetuskan kerisauan kepada kedua-dua pasukan terhadap risiko yang bakal dihadapi pemain masing-masing kerana lebih terdedah dengan masalah kecederaan.
Terbukti apa yang dibimbangkan Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang juga pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berlaku juga malam itu. Tonggak pertahanan JDT, Corbin Ong terpaksa ‘keluar awal’ ekoran kecederaan.
Situasi yang berlaku ke atas Corbin itu tentunya memberi impak kepada skuad kebangsaan. Ini kerana Harimau Malaya bakal menghadapi tugasan pada kempen Piala Asia di Qatar tidak lama lagi.
Mungkin satu-satunya yang boleh melegakan sedikit pihak PSM pada malam itu – keadaan rumput padang tidak ‘terkoyak’ seperti yang berlaku ketika berlangsungnya Pestabola Merdeka 2023 pada Oktober lalu.
Kalau rumput baharu jenis Zeon Zoysia yang ditaja TMJ itu masih ‘terkoyak, bersedialah PSM menerima kritikan mahupun makian ‘berbakul-bakul’ daripada peminat bola sepak tempatan.
Lebih bernasib baik buat PSM pada malam itu, padang tidak ditakungi air sekalipun hujan sebelum dan ketika perlawanan berlangsung. Itu membuktikan sistem perparitan dan perpaipan berfungsi dengan baik.
Jika itu juga berlaku, malang sungguh buat Stadium Nasional. Peminat bola sepak tentunya masih tidak lupa lagi dengan insiden yang berlaku ketika aksi Kelayakan Piala Asia 2023 antara Malaysia dan Bahrain pada 11 Jun lalu.
Ketika itu beberapa petugas dilihat menggunakan penyodok dan kadbod untuk ‘membuang’ air bertakung di Stadium Nasional selepas hujan lebat sehingga mengakibatkan permukaan padang sepenuhnya digenangi air.
Apa pun cukup-cukuplah dengan beberapa insiden memalukan di Stadium Nasional dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini. Apa yang berlaku itu turut memberikan impak negatif kepada Malaysia.
Dalam soal ini, semua pihak berkepentingan harus duduk semeja. Tiada guna menyalahkan satu sama lain. Malah, PSM sendiri harus lebih bijak dalam menangani permasalahan ini agar situasi sama tidak berulang.
Hakikat yang kita semua perlu terima buat masa ini – sebaik-baiknya stadium harus ‘hidup’ sepanjang masa. Maka, stadium harus diisi dengan pelbagai aktiviti selain hanya menjadi venue kejohanan bola sepak.
Cuma apa yang menjadi masalah, apabila kita tidak ada kemampuan untuk mengendalikan dua acara berbeza dalam satu venue. Natijahnya, itulah yang berlaku di padang Stadium Nasional.
Dek penangan konsert kumpulan Coldplay pada 22 November lalu, habis padang rumput Stadium Nasional jadi binasa. Kerosakan bukannya sedikit tetapi boleh dikatakan hampir 30 peratus terjejas.
Sekarang ‘bola sudah kembali berada di kaki’ PSM, fikir-fikirlah apa yang patut! Tak usah lagi sakiti padang Stadium Nasional. Sakit hati dan mata kita, sakit lagi TMJ melihat kerosakan padang Stadium Nasional.