KEJAYAAN Johor Darul Ta'zim (JDT) merangkul gelaran quadruple dua edisi berturut-turut memberi mesej jelas buat pencabar mereka untuk bangkit membina skuad yang lebih mantap bagi musim-musim mendatang.
Malah, jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah berharap sistem dan falsafah yang dibina JDT sejak 2013 menjadi penyuntik semangat dan ikutan buat kelab Liga Malaysia (Liga-M) lain.
Meskipun tidak nampak mana-mana kelab yang mampu menyaingi JDT dari segenap aspek ketika ini, Mohd Azraai berharap usaha ke arah pembinaan kejayaan itu perlu bermula daripada sekarang.
"Nak tiru JDT macam mana, padang latihan pun tiada. Nak bina skuad mantap fasaliti tak cukup. Masalah gaji masih berlaku. Barisan pengurusan bertukar-tukar.
"Kita lihat TMJ (Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim) ada misi dan wawasan. Itu yang patut kelab lain buat, takkan mahu tengok sahaja (perancangan dan kejayaan JDT),” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.
Beliau berkata, situasi yang berlaku tersebut secara tidak langsung boleh menjejaskan imej bola sepak Malaysia di mata negara jiran seperti Thailand dan Vietnam.
"Biasa disebut, kita jaga liga kita, tetapi ada pasukan tak jaga kebajikan pemain. Masih ada lagi pasukan yang berdepan kesukaran untuk baharui lesen kelab.
"Sampai bila kita mahu biar ia berlarutan, bagai tiada kesudahan,” katanya yang pernah membimbing Kedah meraih gelaran double treble pada musim 2006/2007 dan 2007/2008.
Mohd Azraai turut berharap pengurusan kelab lain harus bertindak segera bagi mengelak jurang yang lebih besar dengan skuad Harimau Selatan itu.
"Periksa dan semak kelemahan pasukan. Kukuhkan hubungan dengan pihak penaja untuk membina kewangan yang baik, selain membina misi yang jelas buat kelab untuk bentuk pasukan yang mantap,” jelasnya.
JDT mengukuhkan reputasinya di pentas Liga-M selepas mempertahankan Piala Malaysia setelah menewaskan Terengganu FC (TFC) 3-1 dalam aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat lalu.
Kejayaan itu menyaksikan JDT meletakkan penanda aras baharu apabila muncul kelab pertama memenangi empat piala - Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih dalam satu musim buat kali kedua berturut-turut.