KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Seorang peniaga serondeng di Kampung Laut, Tumpat didenda RM3,900 kerana tiga kegagalan mengemukakan penyata Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST-02) dalam tempoh yang ditetapkan di Mahkamah Sesyen, di sini pada Isnin.
Orang Kena Saman (OKS), Wan Zairul Izzuan Ariz Wan Zainudin, 30, didenda oleh hakim, Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli selepas mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan yang dikemukakan.
Mengikut kesemua pertuduhan itu, antara 1 Jun hingga 3 Oktober lalu di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan, OKS yang juga pemilik tunggal perniagaan serondeng dan sebagai orang kena cukai di bawah Akta Cukai Jualan 2018 (Akta 806) didapati gagal mengemukakan penyata SST-02 dalam tempoh yang ditetapkan antara 1 Mac hingga 31 Ogos lalu.
Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 26(7)(a) Akta 806 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau maksimum penjara tiga tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JKDM, Mohd Haswadi Mohamad Nor manakala Wan Zairul Izzuan Ariz tidak diwakili peguam.
Sebelum itu, Wan Zairul Izzuan Ariz merayu hukumannya dikurangkan, namun Mohd Haswadi memohon satu hukuman setimpal dikenakan ke atasnya.
"Saya mohon hukuman yang dapat pengajaran kepada OKS dan orang lain agar tidak memandang ringan tanggungjawab membayar cukai,” katanya.
Sementara itu, dalam prosiding berasingan di mahkamah sama, seorang lagi pemilik tunggal sebuah syarikat pengiklanan, Mohd Ridzuan Jusoh, 34, turut dikenakan denda RM3,900 atas kesalahan sama yang dilakukan antara tempoh 1 Jun hingga 3 Oktober lalu.
Mohd Ridzuan sebagai orang kena cukai bawah Akta Cukai Jualan 2018 (Akta 806) didapati gagal mengemukakan penyata SST-02 dalam tempoh yang ditetapkan antara 1 Mac hingga 31 Ogos lalu.
Mohd Zul Zakiqudin kemudian mengenakan denda itu atau tiga bulan penjara bagi setiap pertuduhan jika gagal dijelaskan.
Kedua-duanya bagaimanapun menjelaskan denda masing-masing.