IPOH - Seramai 86 warga asing diselamatkan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dalam Op Penguatkuasaan Perburuhan Bersepadu di tiga tapak pembinaan berasingan sekitar Perak pada Isnin.
Serbuan sekitar jam 7.50 pagi di Laluan Meru Indah di sini, Tapah dan Sitiawan itu disertai Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Jabatan Imigresen Malaysia, Polis, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Dalam serbuan itu, sekumpulan pekerja warga asing yang tinggal di rumah kongsi bertempiaran lari ke dalam hutan berhampiran sebelum berjaya ditahan.
Ketua Pengarah JTKSM, Kamal Pardi berkata, tindakan diambil selepas menerima aduan awam terhadap isu pengabaian pekerja oleh majikan.
Menurutnya, seramai 52 lelaki diperiksa di Ipoh manakala masing-masing 17 orang diperiksa di Tapah dan Sitiawan terdiri warga Bangladesh, Myanmar dan Indonesia.
"Daripada jumlah itu, sembilan individu merupakan pemegang kad Suruhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) manakala 23 yang lain adalah pendatang asing tanpa izin (PATI).
"Siasatan mendapati pekerja-pekerja ini masih belum ada pekerjaan lebih dua minggu. Dalam tempoh itu, mereka tinggal di rumah kongsi yang tidak kondusif.
"Pemeriksaan mendapati kebajikan diabaikan apabila penginapan yang disediakan majikan tiada kemudahan dan mereka tidur beralaskan tikar selain sempit," katanya kepada pemberita di sini.
Kamal berkata, pekerja yang terabai akan dibantu untuk mendapatkan pekerjaan sama ada di syarikat sama atau ditempatkan di syarikat lain.
Tambah beliau, penguatkuasaan tersebut dilaksanakan bagi memastikan kebajikan para pekerja terjaga sekali gus menyangkal dakwaan pihak antarabangsa yang mengatakan bahawa negara mengamalkan buruh paksa.
"Antara kesalahan yang dikesan adalah tiada perakuan penginapan pekerja yang merupakan kesalahan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990, Seksyen 25A Akta Kerja 1955 iaitu membayar gaji secara tunai dan bukan melalui institusi kewangan.
"Selain itu, tindakan diambil mengikut Subseksyen 60K(3) akta sama iaitu kegagalan melapor penggajian pekerja asing dan terdapat juga pekerja yang dikategorikan sebagai terabai iaitu mereka dibawa masuk secara sah berpermit tetapi tidak diberikan sebarang pekerjaan," katanya.
Tambah beliau, PERKESO turut mengambil tindakan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 iaitu tiada caruman dilakukan.
"Jabatan Imigresen mengesan beberapa kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 manakala bagi CIDB mengambil tindakan di bawah Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994.
"Notis penutupan tapak selama tujuh hari dikenakan. Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) pula akan melakukan semakan kelulusan berhubung pembinaan bangunan dan lesen penginapan," katanya.
Kamal berkata, tindakan penguatkuasaan dilaksanakan bagi membanteras ketidakpatuhan di bawah Akta Perburuhan selain mengekang amalan buruh paksa dalam negara.