JEMPOL - Perbuatan tidak bertanggungjawab individu yang membina bangunan kedai menjual santan dan mencuci kenderaan secara haram sejak 12 tahun lalu di tanah kerajaan di Bandar Serting dekat sini, akhirnya dirobohkan dalam satu operasi pada Isnin.
Pegawai Daerah Jempol, Nawal Mohamed Amin berkata, Pejabat Daerah dan Tanah Jempol (PDTJL) telah melaksanakan operasi penguatkuasaan bersepadu di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara [AKTA 828] iaitu pencerobohan atas tanah kerajaan seluas 408 meter persegi di lokasi.
"Kedua-dua binaan tanpa kebenaran di atas tanah kerajaan ini turut mengganggu kerja-kerja naik taraf landskap Bandar Serting yang sedang dilaksanakan Majlis Perbandaran Jempol," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, kedua-dua bangunan kedai itu milik seorang lelaki warga tempatan sebelum itu telah diberikan beberapa notis pengosongan termasuklah yang terkini, namun tidak diendahkan pemiliknya.
"Notis pengosongan yang terkini bukanlah merupakan notis yang pertama kerana penceroboh telah beberapa kali diberikan notis pengosongan selain beberapa siri rundingan turut sama dibuat.
"Tetapi dia masih ingkar dan enggan mengosongkan tanah kerajaan yang dicerobohinya," katanya.
Justeru, beliau berkata, operasi bersepadu ini dilaksanakan diketuai oleh Unit Penguatkuasaan PDTJL bersama 11 agensi yang lain dengan kekuatan anggota seramai 140 orang.
"Tindakan penguatkuasaan dijalankan bermula jam 8.30 pagi dengan merobohkan binaan. Perobohan turut dilaksanakan ke atas binaan garaj kereta di kawasan berhampiran kerana binaan tersebut juga dibina tanpa kebenaran.
"Orang awam dinasihatkan untuk tidak menceroboh atau membina sebarang binaan tanpa kebenaran di atas mana-mana tanah kerajaan selaras peruntukan Seksyen 425 (1)(a) Kanun Tanah Negara.
"Jika disabitkan,akan dikenakan denda yang tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan untuk suatu tempoh yang tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya," ujarnya.