SHAH ALAM - Keadaan semasa di Gaza yang masih meruncing memerlukan pelbagai bentuk penyaluran bantuan sama ada zakat, infak atau apa cara sekalipun perlu disampaikan ke sana dengan segera.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, bagi yang keliru berhubung hukum menyalurkan zakat kepada rakyat Palestin hinggakan mereka tidak pasti untuk membuat keputusan, beliau mencadangkan beberapa pendekatan.
"Di sini, saya mencadangkan jika jumlah zakat itu besar, bayar dan berilah kepada Majlis Agama Islam Negeri masing-masing terlebih dahulu.
"Kemudian, kalau ada sejumlah wang yang diberikan oleh agensi mengurus zakat untuk diagihkan sendiri kepada asnaf melalui skim khas berupa wakalah agihan kepada para pembayar zakat untuk membayar sendiri kepada asnaf, maka berikanlah kepada Palestin.
"Inilah yang menurut saya lebih baik kerana meraikan kedua-dua pihak yang tidak dapat dinafikan lagi kedua-duanya sangat memerlukan kepada zakat tersebut," katanya menerusi satu kenyataan di Facebook pada Ahad.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, cadangan itu dibuatnya berdasarkan beberapa sandaran daripada ulama berhubung perkara berkenaan.
"Ulama Syafi‘iyyah dan Hanabilah tidak membolehkan zakat dipindahkan ke negara lain yang jaraknya membolehkan untuk diqasarkan solat.
"Ulama Malikiyyah juga melarang memindahkan zakat ke jarak yang melebihi jarak perjalanan yang membolehkan mengqasarkan solat, kecuali bagi mereka yang memerlukan zakat tersebut di selain negara di mana harta itu berada," katanya.
Jelas Zulkifli, ulama Hanafiyyah pula berpendapat, zakat makruh untuk dipindahkan selagi pemindahan tersebut bukan kerana suatu maslahah, contohnya kepada kaum kerabat.
"Kupasan lanjut berhubung perkara tersebut boleh diperoleh di aplikasi Al Inarah yang boleh dimuat turun di Play Store dan App Store atas tajuk 'Memindahkan Zakat ke Palestin'," katanya.