Buruh warga Indonesia maut tertimbus tanah di Lipis

Iklan
Mangsa tertimbus dalam kejadian di tapak projek pembinaan Lebuhraya CSR di Kampung Berembang, Kuala Lipis pada Isnin.

KUANTAN - Seorang buruh warga Indonesia maut tertimbus tanah dalam kejadian di tapak projek pembinaan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (CSR) di Kampung Berembang, Kuala Lipis pada Isnin.

Dalam kejadian yang dilaporkan jam 11.15 pagi itu, mangsa, Khairul Anam, 28, berasal dari Jawa Timur, Indonesia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, siasatan mendapati, ketika kejadian, mangsa bersama tiga pekerja lain sedang melakukan kerja-kerja mengorek longkang untuk sistem pembetungan.

Menurutnya, ketika jengkaut berhenti melakukan penggalian, mangsa yang baru lima bulan bekerja di tapak projek itu dipercayai turun ke dalam longkang untuk mengukur kedalaman.

Iklan

"Kejadian disedari tiga rakannya yang berada di lokasi lalu turun membantu mengeluarkan mangsa yang tertimbus sebelum mayat lelaki itu berjaya dikeluarkan 15 minit kemudian," katanya.

Azli berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Lipis untuk proses bedah siasat.

Iklan

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, susulan maklumat diterima, lapan anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Lipis ke lokasi untuk bantuan menyelamat.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi, mayat mangsa telah dikeluarkan dengan bantuan rakan sekerja.

"Pihak bomba melakukan pemeriksaan di kawasan kejadian bagi memastikan lokasi itu selamat sebelum operasi diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.