PULAU Pinang telah mengukuhkan kedudukannya sebagai penyumbang utama kepada pelaburan langsung asing (FDI) pembuatan negara dengan menguasai 42 peratus bagi tempoh suku ketiga (Januari hingga September) tahun ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, dalam tempoh itu, Pulau Pinang mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan iaitu RM44.9 bilion merentasi pelbagai sektor merangkumi sektor utama, pembuatan dan perkhidmatan.
Menurutnya, aliran masuk FDI pembuatan yang diluluskan berjumlah RM35.8 bilion, menandakan peningkatan 634 peratus dari tahun ke tahun.
"Pelaburan dalam sektor pembuatan di Pulau Pinang menunjukkan peningkatan ketara dengan RM34.6 bilion iaitu sebanyak 421 peratus berbanding tahun lalu.
"Dalam tempoh ini juga, Pulau Pinang sekali lagi telah membuktikan minat pelabur sedia ada termasuk pelabur baharu dengan aliran masuk pelaburan yang mengejutkan," katanya pada sidang akhbar di Komtar pada Isnin.
Tambahnya, pertumbuhan luar biasa itu didorong oleh FDI yang menyumbang sebanyak RM33 bilion atau 95 peratus daripada aliran masuk pelaburan pembuatan Pulau Pinang dalam tempoh ini.
"Kemasukan FDI yang besar ini menggariskan keyakinan teguh pelabur antarabangsa terhadap potensi Pulau Pinang dan peluang lumayan yang ditawarkan.
"Pelabur domestik kita juga patut mendapat pengiktirafan yang mana, sokongan padu mereka telah memainkan peranan penting dalam memupuk landskap perindustrian kita yang berkembang pesat.
"Sementara itu, pelaburan langsung domestik (DDI) menyumbang RM1.6 bilion, membentuk baki 5 peratus daripada aliran masuk pelaburan pembuatan kami," katanya.
Kon Yeow berkata, walaupun berlaku penurunan 15 peratus dalam DDI iaitu RM3.1 bilion dari tahun ke tahun, jumlah pelaburan pembuatan yang diluluskan untuk tiga suku pertama 2023 berjumlah RM38.9 bilion.
"Pulau Pinang masih penyumbang tertinggi dalam kalangan negeri lain dengan memegang 39 peratus bahagian dalam pelaburan pembuatan Malaysia yang diluluskan dalam tempoh ini.
"Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menganggarkan bahawa pelaburan ini yang diagihkan merentasi 107 projek akan menjana kira-kira 11,121 peluang pekerjaan baharu di negeri ini. Kejayaan ini hasil daripada industri utama iaitu elektrik dan elektronik, jentera dan peralatan serta logam fabrikasi," katanya.
Jelas Kon Yeow, sektor-sektor itu secara kolektif menyumbang 98 peratus daripada jumlah pelaburan pembuatan Pulau Pinang yang diluluskan pada sembilan bulan pertama bagi 2023.
"Ia membuktikan bahawa Pulau Pinang berperanan penting dalam memacu penyertaan Malaysia dalam rantaian bekalan global," katanya.