Kabus tebal jejas perkhidmatan kereta api, penerbangan di India

Iklan
Seorang pemandu teksi roda tiga sedang menunggu penumpang di dalam keadaan kabus tebal di New Delhi, India semalam. Foto: Agensi.

NEW DELHI - Kabus tebal yang melanda ibu negara India memberi kesan kepada jadual perjalanan kereta api dan penerbangan apabila jarak penglihatan turun secara mendadak dengan suhu di beberapa pusat tinjauan merekodkan angka sifar semalam.

Jarak penglihatan yang direkodkan di pusat tinjauan Safdarjung dan Palam berada pada tahap sifar jam 8.30 pagi semalam dengan purata suhu 2.5 darjah Celcius sehingga menyebabkan tiga penerbangan telah dipindahkan dari lapangan terbang Delhi akibat kabus tebal.

Iklan
Iklan

Begitupun menurut kemas kini pada jam 7 pagi tadi, seorang pegawai lapangan terbang berkata, tiada lagi penerbangan dibatalkan sejak semalam.

Sementara itu, jurucakap perkhidmatan kereta api negara itu pula berkata, 30 jadual perjalanan telah ditangguhkan dan penumpang bakal mengalami kelewatan antara dua hingga tujuh jam setengah berbanding biasa manakala perjalanan dari Delhi ke Bhubaneshwar Rajdhani terpaksa ditangguhkan hampir lapan jam.

Iklan
Iklan

Jabatan kaji cuaca negara itu meramalkan keadaan berkabus akan terus berlaku sehingga esok dengan suhu minimum kira-kira tiga darjah Celcius. - Agensi.